
BANDAR SERI BEGAWAN - Gelaran diraja Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri milik menantu Sultan Brunei, Pengiran Raabi’atul Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah ditarik semula atas titah baginda, berkuat kuasa serta merta.
Keputusan berkenaan diumumkan Pemangku Grand Chamberlain, Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna Pengiran Haji Razali yang berkata, penarikan gelaran berkenaan dilakukan atas titah Sultan Hassanal Bolkiah.
Pengiran Raabi’atul Adawiyyah merupakan isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik Hassanal Bolkiah, salah seorang putera Sultan Brunei.
Menurut laporan penyiar kebangsaan Brunei, RTB News, keputusan berkenaan dibuat selepas tingkah laku Pengiran Raabi’atul Adawiyyah dinilai sebagai tidak wajar bagi seorang isteri kepada anggota keluarga diraja.
Laporan itu turut menyebut, perlakuan berkenaan didakwa menjejaskan reputasi institusi diraja selain dianggap sebagai menunjukkan sikap tidak menghormati Sultan.
Bagaimanapun, pihak istana tidak memperincikan apakah bentuk perlakuan atau insiden yang membawa kepada keputusan tersebut.
Pengumuman berkenaan juga tidak menjelaskan sama ada sebarang tindakan lanjut akan dikenakan terhadap Pengiran Raabi’atul Adawiyyah. - Getaran, 8 Ogos 2026






