
KOTA TINGGI – Perubahan sikap berkeras enggan membenarkan ahli keluarga menaiki kereta bersama menjadi petanda akhir pasangan suami isteri sebelum kedua-duanya terkorban dalam kemalangan maut di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi–Kluang, petang semalam.
Nahas tragis melibat dua buah kenderaan itu meragut nyawa pasangan yang menaiki Perodua Axia, Mohd Herwan Alias, 38, dan isterinya, Nur Ezazaya Mohd Ali, 34, akibat kecederaan parah. Tragedi itu turut mengorbankan penumpang Honda BRV, Mohd Noor Selamat, 58.
Adik kepada Mohd Herwan, Nur Ellysya Alias, 29, berkata, abang dan kakak iparnya ada menunjukkan perubahan sikap seolah-olah sudah dapat merasakan ‘penghujung nyawa’ sewaktu mereka bertolak pulang daripada perkelahan keluarga di Gunung Belumut.
“Kami tiga keluarga bertolak ke Gunung Berlumut di Kluang pada pagi semalam memang merancang ke sana. Sepanjang di sana arwah berdua memang nampak lain mereka kami lihat sentiasa berkepit berdua tidak berenggang.
“Bukan itu sahaja, kakak ipar yang disifatkan seorang yang agak pendiam bertukar sangat ceria dan banyak bercakap semalam.
”Bahkan biasanya mak dan anak saya akan naik kereta dengan mereka ke mana pun mesti naik mereka. Tapi kali ini mereka berkeras tidak bagi naik sekali. Tak sangka itu rupanya petanda mereka nak pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Nur Ellysya berkata, mereka sepatutnya bertolak berkonvoi pulang bersama tetapi abang dan kakak iparnya itu mahu singgah bandar Kota Tinggi menyebabkan mereka mengambil laluan berlainan.
Katanya, kejadian kemalangan itu hanya disedari sepupunya yang melihat di Facebook sebelum dia menghubungi pasangan itu namun tidak berjawab.
”Tidak lama kemudian besan mak hubungi kami memaklumkan abang kemalangan. Kami yang ketika itu sudah sampai kampung terus berpatah balik ke Hospital Kota Tinggi.
“Abang dan kakak ipar sudah dua tahun berkahwin namun masih belum dikurniakan zuriat. Jenazah mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Buai,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Berkeras elak keluarga naik kereta sekali sebelum maut appeared first on Kosmo Online.






