
KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri antara tiga yang maut selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 31.2 Jalan Kota Tinggi – Kluang petang tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 6.20 petang itu menyebabkan penumpang Honda BRV, Mohd Noor Selamat, 58, dan pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Axia, Mohd Herwan Alias, 38, serta Nur Ezazaya Mohd Ali, 34, cedera parah sebelum maut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan melibatkan Honda BRV yang dipandu seorang lelaki warganegara berusia 42 tahun bersama dua penumpang lelaki, masing-masing berusia 58 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda BRV dari arah Kota Tinggi- Kluang terbabas masuk laluan bertentangan bertembung Perodua Axia.
“Dalam kemalangan tersebut, penumpang belakang Honda BRV dan penumpang hadapan Perodua Axia cedera parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Perodua Axia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital. Pemandu serta penumpang hadapan Honda BRV mengalami kecederaan dan masih mendapatkan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya.
Beliau berkata, semua mayat mangsa dirujuk ke unit forensik HKT bagi tujuan prosedur siasatan, manakala kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Pasangan suami isteri antara tiga maut kemalangan dua kenderaan appeared first on Kosmo Online.






