Suami isteri berkeras enggan keluarga lain naik kereta sama sebelum maut kemalangan – adik

14 Sep 2026 • 1:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Suami isteri berkeras enggan keluarga lain naik kereta sama sebelum maut kemalangan – adik

KOTA TINGGI: Keengganan sepasang suami isteri membenarkan ahli keluarga lain menaiki kenderaan bersama mereka menjadi petanda akhir sebelum kedua-duanya meninggalkan dunia dalam kemalangan di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi–Kluang, petang semalam.

Kemalangan maut melibatkan dua buah kenderaan itu meragut nyawa pasangan suami isteri, Mohd. Herwan Alias, 38, dan Nur Ezazaya Mohd. Ali, 34, yang menaiki sebuah Perodua Axia.

Manakala, seorang lagi yang maut merupakan penumpang kenderaan Honda BRV, Mohd. Noor Selamat, 58.

Adik Mohd. Herwan, Nur Ellysya Alias, 29, berkata, dia perasan perubahan sikap abang dan kakak iparnya semasa mereka sekeluarga berkelah di Gunung Belumut.

“Kami tiga keluarga bertolak ke Gunung Belumut di Kluang pagi semalam. Sepanjang berada di sana, kedua-dua mereka sedikit lain apabila dilihat sentiasa bersama-sama, tidak berenggang antara satu sama lain.

“Kakak ipar sebelum ini agak pendiam orangnya, tetapi semalam sikapnya ceria dan banyak bercakap. Tetapi yang lebih pelik adalah mereka enggan ahli keluarga lain naik kereta bersama mereka berdua.

“Sebelum ini, kalau pergi ke mana-mana biasanya mak dan anak saya akan naik kereta bersama mereka. Tetapi kali ini mereka berkeras tidak bagi orang lain naik sekali. Tidak sangka itu jadi petanda mereka akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini hari ini.

Tambah Nur Ellysya, mereka sepatutnya bertolak pulang secara konvoi bersama-sama tetapi abang dan kakak iparnya mahu singgah di pusat bandar Kota Tinggi menyebabkan mereka mengambil laluan berlainan.

“Tidak lama kemudian besan mak hubungi maklumkan abang dan kakak ipar kemalangan. Kami yang ketika itu sudah sampai kampung terus berpatah balik ke Hospital Kota Tinggi.

“Abang dan kakak ipar sudah dua tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan zuriat. Jenazah mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Buai dalam satu liang,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 6.20 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda BRV dari arah Kota Tinggi- Kluang terbabas masuk laluan bertentangan bertembung Perodua Axia.

“Kemalangan itu menyebabkan penumpang belakang Honda BRV dan penumpang depan Perodua Axia cedera parah di bahagian kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Perodua Axia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya.-UTUSAN

The post Suami isteri berkeras enggan keluarga lain naik kereta sama sebelum maut kemalangan – adik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved