
SERDANG: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menggunakan platform Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 untuk berkongsi secara langsung dengan rakyat mengenai peranan agensi itu dalam ekosistem padi dan beras negara.
Menerusi Galeri BERNAS di Laman Padi serta pengalaman digital di Pavilion BERNAS, pengunjung berpeluang memahami bagaimana bekalan beras negara diurus, termasuk kepentingan stok penimbal, import beras, sokongan kepada pesawah dan agenda keterjaminan makanan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, Galeri BERNAS yang sebelum ini dikenali sebagai Galeri Padi diberi penjenamaan semula bagi memperkenalkan dengan lebih jelas peranan BERNAS kepada masyarakat.
Menurutnya, syarikat itu memegang konsesi sebagai gerbang import beras sejak 1994 dan peranan itu sering disalah faham kerana ramai melihat syarikat berkenaan hanya dari sudut import semata-mata.
“BERNAS telah memegang konsesi sebagai gerbang import untuk beras sejak 1994, hampir 32 tahun.
“Ada banyak salah faham atau salah komunikasi mengenai peranan BERNAS. Jadi, melalui galeri ini, kita mahu mengetengahkan apa sebenarnya peranan BERNAS dan sumbangannya kepada negara
“Galeri ini juga sebenarnya melihat evolusi bagaimana pertanian padi itu dibuat daripada mula pembajakan, penyediaan tanah kepada mengeluarkan benih, dari segi menjaga padi itu dan sehingga masa untuk tuai dan juga pembajakan bila selesai.
“Jadi, galeri ini sebenarnya memberi satu pandangan holistik peranan BERNAS dalam industri pertanian padi di dalam negara ini,” katanya ketika ditemui selepas program sesi memasak Bubur Pedas di sini semalam.
Menurut Isham, galeri itu mempersembahkan perjalanan BERNAS sejak 1994 sehingga kini, termasuk peranannya dalam memastikan bekalan beras mencukupi, kualiti import terjamin dan harga serta bekalan kekal terkawal.
Tambahnya, galeri itu juga menjadi ruang komunikasi dengan pengunjung bahawa BERNAS bukan sahaja pengimport beras, sebaliknya melaksanakan pelbagai tanggungjawab lain yang memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada negara.
“Semasa perang di Asia Barat, BERNAS memainkan peranan memastikan bekalan kita bukan sahaja cukup untuk enam bulan, tetapi boleh dianjakkan sehingga sembilan bulan.
“Dari segi agenda keterjaminan makanan dan kesinambungan bekalan beras, BERNAS memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat besar,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, BERNAS turut melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pesawah secara langsung, termasuk bantuan teknikal, bantuan kewangan dan sokongan lain kepada aktiviti pertanian.

Sementara itu, Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, semua pengunjung MAHA 2026 perlu hadir ke Galeri BERNAS bagi melihat sendiri sejarah padi dan beras negara serta memahami peranan syarikat itu dalam ekosistem bekalan makanan.
Katanya, peranan BERNAS selama ini banyak berlaku di belakang tabir tetapi tanggungjawab itu amat penting terutama ketika negara berdepan krisis bekalan beras.
“Selama ini kami di belakang tabir, tetapi sebenarnya peranan itu besar, termasuklah ketika negara kita Malaysia melalui beberapa krisis beras.
“Inilah peranan yang kami mainkan selama ini, bukan sahaja dalam negara, tetapi juga melalui pendekatan menjaga hubungan baik dengan pembekal luar negara,” katanya.
Rohani berkata, hubungan baik dengan pembekal global amat penting bagi memastikan Malaysia terus mendapat bekalan beras ketika berlaku ketidaktentuan pasaran dunia.
Pada masa sama, BERNAS memaklumkan bahawa penyertaannya di MAHA 2026 memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami mekanisme satu gerbang import yang sering menjadi perhatian umum.
Melalui pameran interaktif dan kandungan digital, pengunjung dapat melihat bagaimana import beras berfungsi sebagai pelengkap kepada pengeluaran tempatan, menyokong stokpail beras negara dan memperkukuh daya tahan bekalan ketika berdepan ketidaktentuan global.
Di Pavilion BERNAS, pengunjung turut boleh berinteraksi dengan ‘Intan’, pembantu digital berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain meneroka kandungan berkaitan kelestarian, komuniti dan inisiatif BERNAS di luar pengurusan bekalan beras.
Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk pengalaman sensori beras, demonstrasi penuaian padi dan ikrar awam bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keterjaminan makanan.
Selain itu, di Laman Padi BERNAS, pengunjung juga dapat melihat bagaimana industri padi negara berkembang seiring kemajuan teknologi, mekanisasi dan inovasi dalam usaha meningkatkan produktiviti.
Pengalaman itu memperlihatkan hubungan saling melengkapi antara pesawah, teknologi dan ekosistem industri dalam memperkukuh bekalan beras negara. – UTUSAN
The post BERNAS kongsi kisah 32 tahun urus beras negara di MAHA 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






