Sejak sekian lama, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) suda diiktiraf sebagai antara acara penting dalam kalendar negara.
Pada setiap penganjuran, MAHA tidak pernah gagal menarik kehadiran ratusan ribu pengunjung, dan tahun ini acara tersebut sekali lagi diramalkan mampu melakar kejayaan yang sama.
Seiring dengan perubahan zaman, konsep dan teknik promosi MAHA turut berkembang agar lebih signifikan dan relevan dengan keadaan semasa.
Ia terpapar jelas semalam, apabila suasana tenang di hadapan pusat beli belah SOGO di ibu negara secara tiba-tiba bertukar meriah dengan persembahan flashmob khas sempena promosi MAHA 2026.
Aktiviti berkonsepkan guerilla marketing itu menjadi sebahagian daripada usaha membawa kemeriahan MAHA 2026 lebih dekat kepada masyarakat, khususnya warga kota dan golongan muda.

Flashmob itu yang berlangsung secara spontan di ruang tumpuan orang ramai menampilkan elemen muzik, tarian dan identiti MAHA 2026.
Kehadiran para penari yang muncul secara tiba-tiba mencuri perhatian pengunjung sebelum mereka bersama-sama memeriahkan suasana menerusi persembahan yang bertenaga.
Lebih istimewa, ia turut disertai penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir, selaku pelantun lagu rasmi MAHA 2026.
Kemunculan Faizal nyata mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung dan turut memberi nafas baharu kepada pendekatan promosi MAHA 2026 melalui gabungan muzik, hiburan dan pengalaman secara langsung.
Aktiviti flashmob ini turut menjadi pembuka kepada perjalanan promosi MAHA 2026 menggunakan bas HOHO yang telah mengelilingi beberapa lokasi ikonik di sekitar ibu negara, termasuk Istana Budaya dan Menara KL.@
Bas berkonsepkan MAHA 2026 itu membawa mesej dan identiti pameran secara bergerak bagi menarik perhatian orang ramai, serta memperkenalkan MAHA 2026 kepada masyarakat di luar kawasan penganjuran.

MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari, bermula 28 Ogos hingga 6 September di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.
Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 memberi penekanan kepada pemodenan sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi, inovasi serta penghasilan nilai sepanjang rantaian makanan.
Acara berkenaan turut menghimpunkan pelbagai pemain industri, usahawan, pengusaha agro, penginovasi dan agensi berkaitan, selain menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung termasuk pameran teknologi pertanian, produk agromakanan, hortikultur,vternakan, agropelancongan, aktiviti interaktif dan hiburan.
Tidak ketinggalan adalah persembahan penyanyi tersohor sepanjang malam menerusi konsert ROTF antaranya, Dayang Nurfaizah, Hael Hussaini,Syamel, Noraniza Idris, Anggrek, Cakra Khan dan ramai lagi. - Getaran, 30 Ogos 2026






