SHAH ALAM - Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyantuni komuniti setempat sepanjang Ramadan menerusi Program Gema Ramadan 2026 di beberapa lokasi termasuk Telipok di Kota Kinabalu, Pelabuhan Klang dan Kampung Bukit Naga di Shah Alam.
Program itu melibatkan pengagihan ribuan bubur lambuk kepada komuniti setempat, rumah anak yatim, masjid, surau, pusat tahfiz serta petugas keselamatan dengan penyertaan kakitangan BERNAS dan sukarelawan Kelab BERNAS.
Inisiatif itu bermula pada 8 Mac di kawasan sekitar Gudang Beras BERNAS di Telipok, Sabah, apabila kira-kira 1,500 bubur lambuk diedarkan kepada komuniti di daerah Kota Kinabalu, Menggatal, Sepanggar dan Tuaran.
Pengerusi BERNAS, Datuk Sri Rohani Abdul Karim berkata program seperti ini memberi ruang kepada BERNAS untuk terus mendekati masyarakat dan menghargai peranan pelbagai pihak yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.
“Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara BERNAS, komuniti setempat serta agensi penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
**media[3464901]**
Tambahnya, BERNAS turut menyumbang 250 kilogram beras kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak bagi penyediaan 3,200 bubur lambuk yang diagihkan kepada komuniti di Kuching, Sarawak sepanjang Ramadan.
Sementara itu, di Pelabuhan Klang, BERNAS meraikan kira-kira 350 anggota dan kakitangan daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu majlis berbuka puasa sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
Sebanyak 700 bekas bubur lambuk turut diagihkan kepada anggota yang sedang bertugas di sekitar pelabuhan.
Program Gema Ramadan 2026 yang berakhir pada 13 Mac di Masjid Al Bakri, Kampung Bukit Naga, Shah Alam itu melabuhkan tirai dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk rewang bersama kariah masjid, pengagihan bubur lambuk serta sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Ahli Parlimen Kota Raja merangkap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi BERNAS, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah serta barisan pengurusan kanan BERNAS.
Dalam pada itu, BERNAS memaklumkan bekalan beras negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi menjelang Aidilfitri.
Menurut BERNAS, kestabilan tersebut disokong menerusi pendekatan strategik mempelbagaikan sumber beras import serta pengalaman ketika berdepan krisis beras dunia, selain hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dengan negara-negara pengeluar beras.
Ia merupakan antara langkah yang diambil bagi menangani kesan ketidaktentuan luaran.
BERNAS juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan bagi memastikan rantaian bekalan beras negara kekal terjamin.


