BerryPay rancang disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh 4 tahun

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2025 • 2:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BerryPay rancang disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh 4 tahun

image is not available

03/09/2025 - 14:37

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Sept - Syarikat teknologi kewangan (fintech) BerryPay merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang bagi terus mengembangkan sayap perniagaannya ke luar negara.

Rakan Kongsi & Pengarah Pembangunan Perniagaan Global, Mohd Suhaimi Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang dalam proses pengembangan dan ketika ini pihaknya sudah berada di beberapa negara seperti Algeria, Afrika, Asia Barat dan Asia Tenggara.

Beliau berkata, hasil daripada tawaran permulaan awam (IPO) yang dirancang itu antara lain bertujuan mengukuhkan modal syarikat selain mengembangkan bakat untuk menyelia pengembangan perniagaan.

"Perancangan terbaik kami ketika ini adalah untuk meluaskan jejak ke Eropah memandangkan ramai pekerja asing yang bekerja di sana dan mereka memerlukan perkhidmatan kiriman wang serta perkhidmatan lain yang berkaitan. Kami melihat terdapat potensi besar sekiranya kami membuka sebuah hab di sana.

"Bagaimanapun, antara cabaran utama adalah kos yang tinggi selain kadar cukai dan fokus pengembangan kami lebih tertumpu kepada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Algeria.

image is not available
Mohd Suhaimi Abdul Hamid

"Sekiranya terdapat lebihan daripada hasil IPO itu, kami akan buka hab di Eropah," katanya dalam satu wawancara kepada DagangNews, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, sasaran utama BerryPay untuk menjadi sebuah bank digital atau lebih dikenali sebagai "Neo Bank" pada masa hadapan dan yakin matlamat itu akan dapat direalisasikan.

Katanya, syarikat itu juga dilihat akan menjadi sebuah bank serantau yang akan menyediakan perkhidmatan lengkap seperti sebuah bank tradisional.

"Fokus kami akan lebih terarah kepada negara-negara tidak ramai pendudukanya memiliki akaun bank," katanya.

Antara negara yang majoriti penduduknya tidak memiliki akaun bank termasuk Maghribi dengan 71% penduduk diikuti Vietnam (69%), Mesir (67%), Filipina (66%), Mexico (63%), Nigeri (60%) , Peru (67%), Colombia (54%), Indonesia (52%) dan Argentina (51%). - DagangNews.com

standard