Prospek IOI Corp pada FY26 diunjur positif didorong lonjakan pengeluaran buah tandan segar - PublicInvest

3 Sep 2025 • 4:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek IOI Corp pada FY26 diunjur positif didorong lonjakan pengeluaran buah tandan segar - PublicInvest

image is not available

03/09/2025 - 16:07

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Sept - Prospek IOI Corporation Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26) diunjur positif didorong pendapatan perladangan yang lebih kukuh hasil daripada harga minyak sawit mentah (MSM) yang menggalakkan serta pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi.

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, pengurusan syarikat memberi fokus kepada empat keutamaan strategik termasuk perluasan portfolio produk, inovasi, produktiviti dan kualiti, serta inisiatif kelestarian dan iklim. Langkah itu dijangka mengukuhkan lagi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

Bagi segmen huluan, IOI Corporation menyasarkan pertumbuhan pengeluaran BTS antara 5% hingga 10% pada FY26.

"Walaupun kawasan matang dijangka berkurangan akibat aktiviti penanaman semula yang agresif, hasil tanaman dijangka meningkat.

"Keperluan baja bagi enam bulan akan datang telah pun diperoleh, sekali gus mengurangkan tekanan kos meskipun harga baja dijangka meningkat.

"Kos pengeluaran BTS pula dijangka naik sedikit daripada RM290 setiap tan kepada RM300 bagi setiap tan, namun kesan akan diserap oleh hasil yang lebih baik serta harga MSM yang lebih kukuh," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, bagi perbelanjaan modal (capex), kumpulan memperuntukkan RM900 juta untuk FY26, dengan 65% ditumpukan kepada operasi huluan dan 35% bagi hiliran.


Katanya, antara projek utama termasuk menggandakan kapasiti kilang ester di Pulau Pinang kepada 24,000 tan serta memperluas ladang kelapa daripada 3,800 hektar kepada 5,000 hektar—sekali gus mengukuhkan kedudukan IOI Corporation sebagai pengendali ladang kelapa kedua terbesar di Malaysia.

"Harga MSM dijangka stabil sehingga November ini, disokong permintaan sempena musim perayaan. Pihak pengurusan percaya faktor ini akan terus memperkukuh pendapatan perladangan dan mengekalkan momentum positif kumpulan menjelang FY26.

"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran RM4.33 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard