Malaysia catat dagangan RM1.73 trilion dalam tempoh 7 bulan pertama 2025 – Matrade

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2025 • 12:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia catat dagangan RM1.73 trilion dalam tempoh 7 bulan pertama 2025 – Matrade

image is not available

03/09/2025 - 12:02

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Malaysia merekodkan prestasi dagangan tertinggi sebanyak RM1.73 trilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ia adalah peningkatan 4.7% berbanding RM1.65 trilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, nilai eksport berjumlah RM900.47 bilion manakala import RM830.16 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan RM70.31 bilion.

Ahli Lembaga Matrade, Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, pencapaian itu konsisten dengan pertumbuhan dagangan 2024 yang mencecah RM2.879 trilion, meningkat 9.2% berbanding 2023.

“Eksport negara melepasi paras RM1 trilion untuk tahun keempat berturut-turut dengan nilai RM1.508 trilion, melebihi 87.2% daripada sasaran Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Hari Eksport Negeri Sembilan.

Matrade akan terus memperkukuh pasaran eksport melalui 48 pejabat perdagangan di seluruh dunia, selain menyediakan dana pemudahcara seperti Geran Pembangunan Pasaran (MDG), Dana Eksport Perkhidmatan (SEF) dan eTrade.

Katanya, Matrade juga menganjurkan 95 program promosi eksport dan 1,835 padanan perniagaan dari 2024 hingga Julai 2025.

“Semua program yang dijalankan dan yang akan dirancang bertujuan mengukuhkan dan meningkatkan perdagangan dan ekonomi negara,” katanya.

image is not available

Tambahnya, Matrade akan menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia edisi ke-21 pada 17 hingga 20 September di MITEC Kuala Lumpur.

“Kita juga akan membawa jenama MIHAS ke Shanghai, China pada 5 hingga 10 November bersempena Pameran Import Antarabangsa China (CIIE),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Negeri Sembilan turut mencatat peningkatan prestasi dengan jumlah dagangan RM19.27 bilion pada 2024, manakala nilai eksport bagi tujuh bulan pertama 2025 meningkat 10.2% kepada RM880 juta.

Sejak 2024 hingga Julai 2025, lebih 200 syarikat Negeri Sembilan menerima manfaat geran berjumlah RM1.5 juta, menjana jualan sebanyak RM672.18 juta.

Dalam tempoh sama, Matrade menganjurkan 95 program promosi eksport dan 1,835 padanan perniagaan, melibatkan 72 pengeksport Negeri Sembilan yang berjaya menghasilkan jualan RM191.64 juta. - DagangNews.com

standard