
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih mempunyai sokongan akar umbi walaupun bertanding menggunakan logo sendiri di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, jumlah undi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan Bersatu masih mempunyai sokongan akar umbi sekalipun tewas dalam pilihan raya tersebut.
Beliau mengambil contoh di mana Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor apabila Bersatu meraih lebih 40.8 peratus undi.
“Selain itu, Lendu, Sungai Udang dan Bemban, masing-masing mencatatkan lebih 2,000 undi.
“Sokongan di Pantai Kundor, Lendu, Sungai Udang dan Bemban menunjukkan pengundi mula mengenali Bersatu yang bertanding menggunakan lambangnya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN Melaka ke-16, Bersatu tewas di semua tujuh kerusi ditandingi parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Parti itu hanya berjaya mengekalkan wang deposit di dua kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN), iaitu Pantai Kundor dengan 6,112 undi dan Lendu (2,211 undi).
Di Bemban dan Sungai Udang pula, Bersatu memperoleh lebih 2,000 undi di setiap kerusi, namun gagal mencapai nilai ambang satu perlapan daripada jumlah undi sah diperlukan untuk membolehkan deposit calon dikembalikan berikutan pertandingan pelbagai penjuru.
Menurut Tun Faizal, Bersatu justeru itu memerlukan perubahan strategi secara drastik atau ‘game changer’ susulan kekalahan berturut-turut Pilihan Raya Negeri termasuk di Melaka.
Beliau berkata ia bagi memastikan sokongan teras pengundi Melayu dan Islam dapat diterjemahkan kepada kemenangan kerusi pada pilihan raya akan datang.
Tun Faisal Ismail berkata, parti itu kekal berpendirian Bersatu masih mempunyai daya saing politik walaupun bertanding tanpa kelebihan jentera kerajaan Persekutuan atau negeri.
Pada masa sama, menyentuh soal perpaduan dalaman parti selepas PRN itu, Tun Faisal Ismail berkata, kekuatan utama Bersatu ketika ini terletak pada anggota yang kekal bersama parti walaupun tidak lagi mempunyai kuasa dalam kerajaan.
Katanya, mereka yang terus bersama parti melakukannya atas dasar prinsip dan disiplin, berbeza dengan bekas wakil rakyat didakwa melanggar sumpah baiah serta meninggalkan parti demi jawatan dan kepentingan peribadi.
“Bersatu akan memberi tumpuan kepada usaha membina semula kekuatan akar umbi selain memperkenalkan pendekatan politik baharu bagi memperkukuh kedudukan parti menjelang pilihan raya akan datang.
“Sudah tentu, selepas PRN Melaka, perlu ada satu ‘game changer’ serta usaha berterusan untuk memenangi hati pengundi.
“Walaupun tanpa jawatan kerajaan, kuasa atau dana, dengan integriti, prinsip dan kerja keras, Bersatu mampu membina semula sokongan rakyat serta membantu memulihkan keadaan politik dan ekonomi negara,” katanya.
The post Bersatu ada sokongan walaupun tewas PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.






