Gelombang biru semakin cerah menuju Putrajaya

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gelombang biru semakin cerah menuju Putrajaya

MELAKA – Peningkatan majoriti kemenangan beberapa calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini memperlihatkan perubahan ketara dari segi jurang sokongan undi antara gabungan itu dengan pencabar mereka.

Perubahan paling ketara dapat dilihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam apabila calon BN, Datuk Azman Abdullah mencatat kemenangan dengan majoriti 12,689 undi berbanding hanya 79 undi pada PRN 2021.

Azman memperoleh 14,632 undi, manakala pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faiq Azman mendapat 1,943 undi dan calon Bersama, Muhamad Saffie Md. Yasan mempe­roleh 425 undi.

Peningkatan majoriti seba­nyak 12,610 undi itu menunjukkan perubahan besar pada jurang undi di kawasan itu berbanding PRN sebelumnya.

Corak keputusan itu memperlihatkan peningkatan jurang kemenangan BN di beberapa kawasan, termasuk kerusi yang sebelum ini bersaing sengit.

Mengulas senario politik di Melaka itu, penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan kemenangan besar BN-PN dalam PRN Melaka memperlihatkan keberkesanan kerjasama dua gabungan itu dalam mengurangkan perpecahan undi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Katanya, kemenangan BN-PN di 24 daripada 28 kerusi DUN dengan kadar keluar me­ngundi 71.77 peratus turut memberi petunjuk bahawa kerjasama tersebut mendapat penerimaan di peringkat akar umbi, selain memperlihatkan keupayaan jentera kedua-dua gabungan menggerakkan penyokong.

Katanya, peningkatan majoriti BN di DUN Merlimau daripada 3,248 undi kepada 8,724 undi dan Ayer Molek daripada 2,802 undi kepada 13,108 undi memperlihatkan potensi penyatuan undi yang berlaku di beberapa kawasan.

Namun, beliau berpanda­ngan kemenangan besar itu turut didorong faktor lain termasuk kekuatan jentera akar umbi UMNO serta keyakinan pengundi terhadap kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Mengulas kemungkinan kesan keputusan itu terhadap landskap politik nasional, Mohamad ­Tawfiq melihat terdapat potensi untuk gelombang politik berkenaan berkembang sehingga PRU16 jika BN dan PN kekal be­kerjasama.

“Formula yang ditampilkan di Melaka berpotensi memberi tekanan lebih besar kepada PH, khususnya di kerusi marginal jika dapat di­terjemahkan di negeri seperti Johor, Perak, Pahang dan Selangor.

“Melaka mungkin menjadi titik permulaan kepada pembentukan jajaran politik baharu tetapi PRU16 akan menjadi ujian sebenar terhadap kemampuan BN-PN memperluaskan kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau juga berpandangan keputusan PRN Me­laka turut memberikan isyarat kepada PH supaya menilai semula pendekatan politik dan usaha mendekati pengundi Melayu, khususnya berkaitan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, ekonomi serta keberkesanan dasar kerajaan.

Ini kerana, PKR dan Amanah gagal memenangi sebarang kerusi, manakala PH turut kehilangan DUN Bukit Katil yang sebelum ini diwakili bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. -KOSMO! ONLINE

The post Gelombang biru semakin cerah menuju Putrajaya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved