
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh menubuhkan gabungan baharu susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, PN merupakan jenama yang cukup kuat dan tidak menolak kemungkinan Bersatu mengambil inisiatif membentuk semula gabungan itu dengan gagasan serta hala tuju berbeza.
Beliau berkata, gabungan sedia ada yang dikenali sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) membabitkan 11 parti masih longgar dan berpotensi dijenamakan semula sebagai PN baharu.
“Semasa UMNO pernah dibatalkan pendaftarannya, maka wujud UMNO baharu ketika itu. Saya tidak boleh menidakkan ada usaha-usaha untuk mewujudkan Perikatan Nasional baharu.
“Bersatu perlu mengambil alih semula gabungan itu dengan gagasan yang berbeza. Ini kerana, gabungan sedia ada yang dikenali sebagai Ikatan Prihatin Rakyat adalah longgar dan mungkin boleh ditransformasikan kepada PN baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, RoS memutuskan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 selepas mendapati alasan yang dikemukakan gabungan itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan dalam notis berkenaan.
Mengulas hala tuju gabungan baharu itu, Mohd. Redzuan berkata, perkara berkenaan bergantung kepada perbincangan politik antara Biro Politik Bersatu dengan rakan parti lain.
“Selepas satu jenama baharu digunakan, terpulang kepada Biro Politik Bersatu dan rakan gabungan untuk menentukan hala tuju gabungan itu. Apa-apa sahaja jenamanya, terpulang kepada kepemimpinan Bersatu dan parti lain untuk menguruskan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau menegaskan, pembatalan pendaftaran PN sebagai kesan kegagalan menguruskan gabungan itu akibat perebutan kuasa dalam kalangan segelintir individu.
Katanya, keputusan RoS itu bukan soal menang atau kalah, sebaliknya pelaksanaan tanggungjawab berdasarkan tatakelola dalam pengurusan sesebuah pertubuhan atau gabungan.
“Konflik dalaman PN berpunca daripada kerakusan sesetengah pihak yang terlalu mengejar kedudukan dan kuasa, termasuk cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, perebutan kuasa itu amat dikesali kerana PN pada asalnya dibentuk untuk menyatukan parti-parti komponen bagi memperjuangkan agenda bersama.
Sehubungan itu, katanya, Bersatu perlu mengambil tanggungjawab untuk menyusun semula keadaan dan memulihkan perpaduan bagi memastikan perjuangan yang dibawa melalui PN dapat diteruskan.
“Kita perlu mengambil tanggungjawab untuk memulihkan keadaan dan menguruskan situasi sekarang bagi memelihara perpaduan sebenar serta memastikan apa yang kita perjuangkan selama ini dapat mencapai satu tahap kejayaan,” katanya.
The post Bersatu boleh tubuh gabungan parti politik baharu appeared first on Utusan Malaysia.






