Bersatu gugur daripada PN, kenyataan Presiden Pas lebih kepada soal ‘moral’ politik-Takiyuddin

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 8:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Kerajaan Pas

KOTA BHARU: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tergugur daripada Perikatan Nasional (PN) lebih kepada soal ‘moral’ politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana Bersatu memilih untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, baru-baru ini.

“Dari sudut moral politik, tindakan Bersatu bertanding menentang PN menimbulkan persoalan sama ada parti itu masih mahu berada dalam gabungan berkenaan.

“Dia kena tengok juga kenyataan itu, kenyataan dari sudut apa. Dalam politik ini dia ada kenyataan dari sudut moral politik, yang keduanya dari sudut legalistiknya. Dari segi legalistik lain, dari segi moral lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Panitia Induk Muktamar Tahunan Pas Kelantan Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam tadi.

Takiyuddin berkata, Bersatu sebelum ini membuat keputusan melalui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan.

Katanya, PN tidak pernah membuat keputusan untuk menyingkirkan parti itu daripada gabungan berkenaan.

“Kalau dia dah bertanding lawan PN, adakah dia nak masih nak duduk dalam PN? Dari segi politik, takkan dari segi moral politiknya seolah-olahnya dia dah tak mahu lagi dah dengan PN,” ujarnya.

Takiyuddin berkata, Bersatu ketika itu turut menyatakan bahawa logo sendiri yang digunakan parti berkenaan boleh mendapat sokongan dan diterima pengundi.

Terdahulu pada 7 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan kedudukan Bersatu sebagai ahli PN tergugur dengan sendiri apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan membentuk gabungan baharu.

Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu berdasarkan Perlembagaan parti itu yang mana apabila ahlinya menyertai gabungan lain, maka ia terkeluar daripada PN.-UTUSAN

The post Bersatu gugur daripada PN, kenyataan Presiden Pas lebih kepada soal ‘moral’ politik-Takiyuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved