
KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membawa satu amanah besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Mandat rakyat yang diberikan bukan sekadar kemenangan politik, tetapi merupakan tanggungjawab moral dan pentadbiran untuk melaksanakan segala janji yang telah diikrarkan dalam manifesto pilihan raya.
Manifesto bukan sekadar dokumen politik, tetapi merupakan kontrak sosial antara pemerintah dan rakyat. Ia mengandungi komitmen jelas terhadap pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial, serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
Dalam konteks PRN Negeri Sembilan, BN telah menggariskan pelbagai inisiatif yang komprehensif, termasuk usaha memperkukuh ekonomi, menangani kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai program pembangunan.
Malah, manifesto tersebut dirangka dengan pendekatan realistik dan berasaskan kesinambungan dasar terdahulu yang tertangguh.
Dalam masa yang sama, PN pula mengambil pendekatan memperkukuh manifesto tersebut dengan tawaran tambahan, sekali gus mewujudkan satu kerangka dasar yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Kesepakatan antara BN dan PN untuk menyelaraskan manifesto menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak untuk meletakkan kepentingan rakyat melebihi perbezaan politik.
Namun, cabaran sebenar bermula selepas kemenangan diperoleh. Rakyat hari ini bukan lagi seperti dahulu. Mereka semakin peka, kritikal dan bijak dalam menilai prestasi kerajaan.
Janji yang tidak ditepati bukan sahaja menghakis kepercayaan, malah boleh membawa implikasi besar dalam landskap politik masa depan.
Oleh itu, kerajaan baharu Negeri Sembilan perlu segera beralih daripada retorik kempen kepada tindakan konkrit yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
Mereka perlu menyedari bahawa kemenangan ini merupakan peluang kedua bagi BN untuk membuktikan keupayaannya selepas mengalami kekalahan dalam pilihan raya terdahulu.
Justeru, kemenangan ini harus dilihat sebagai ruang untuk melakukan pembaharuan, memperbaiki kelemahan lampau dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kepimpinan negeri.
Tumpuan utama perlu diberikan kepada beberapa aspek kritikal. Pertama, pelaksanaan dasar ekonomi yang mampu menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Kedua, usaha menangani kos sara hidup yang semakin membebankan. Ketiga, pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang lebih efisien dan inklusif.
Keempat, pengukuhan integriti serta tadbir urus yang telus bagi memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.
Selain itu, kepimpinan baharu juga perlu mengamalkan pendekatan inklusif dengan melibatkan semua lapisan masyarakat dalam proses pembangunan negeri.
Dialog berterusan antara kerajaan dan rakyat akan membantu memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan semasa dan masa depan.
Kemenangan dalam pilihan raya bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Masa untuk berkhidmat telah tiba. Rakyat menunggu bukti, bukan janji.
Kerajaan yang berwibawa bukan diukur melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan yang mampu membawa perubahan nyata.
Jika amanah ini dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan komitmen, Negeri Sembilan berpotensi untuk muncul sebagai model pentadbiran negeri yang cemerlang.
Namun, jika janji dibiarkan sekadar retorik, maka mandat rakyat boleh berubah pada bila-bila masa.
Pilihan kini berada di tangan kepimpinan baharu, sama ada mahu dikenang sebagai kerajaan yang menunaikan janji, atau sekadar satu episod politik yang gagal memenuhi harapan rakyat. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. ABD. HAKIM MOHAD
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sains Islam Malaysia
Penyelidik Tamu
University of Bonn, Germany
The post Kini masa untuk BN-PN laksana janji pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.





