Bersatu masih anggota PN – Ahmad Samsuri

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 3:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bersatu masih anggota PN – Ahmad Samsuri

TAIPING – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih merupakan anggota Perikatan Nasional (PN) sehingga hari ini.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu belum berubah meskipun sebelum ini timbul dakwaan keanggotaan parti berkenaan gugur secara automatik susulan hasratnya membentuk gabungan politik baharu.

“Setakat hari ini, mereka masih lagi ahli dalam Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Ke-23 di Hotel Perdana di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang menegaskan keanggotaan parti itu dalam PN masih kekal dan tidak berubah serta bercadang mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung perkara itu.

Mengulas perkara itu, Ahmad Samsuri berkata Bersatu berhak mengambil apa juga langkah yang difikirkan sesuai, selagi mematuhi undang-undang, perlembagaan dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Negara kita ialah negara yang merdeka dan mempunyai undang-undang serta peraturan yang telah diwujudkan.

“Jadi, terpulang kepada mereka untuk mengambil apa juga langkah yang difikirkan sesuai, selagi ia mematuhi perlembagaan dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat membentuk gabungan politik baharu.

Abdul Hadi berkata, perkara itu berdasarkan Perlembagaan PN yang menetapkan mana-mana anggota gabungan berkenaan terkeluar sekiranya menyertai gabungan politik lain.

Bagaimanapun, Bersatu menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan parti berkenaan belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik, termasuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR). – KOSMO! ONLINE

The post Bersatu masih anggota PN – Ahmad Samsuri appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved