
TAIPING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih merupakan anggota Perikatan Nasional (PN) sehingga hari ini.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu belum berubah walaupun timbul dakwaan keanggotaan parti berkenaan gugur susulan hasrat mahu membentuk gabungan politik baharu.
“Setakat hari ini, mereka masih lagi ahli dalam Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Ke-23 di di sini hari ini.
Mengulas kenyataan Bersatu yang mahu membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS, Ahmad Samsuri berkata, Bersatu berhak mengambil apa juga langkah yang difikirkan sesuai.
“Negara kita adalah negara yang merdeka dan mempunyai undang-undang serta peraturan yang telah diwujudkan.
“Jadi, terpulang kepada mereka untuk mengambil apa juga langkah yang difikirkan sesuai, selagi ia mematuhi perlembagaan dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat membentuk gabungan politik baharu.
Abdul Hadi berkata, perkara itu berdasarkan Perlembagaan PN yang menetapkan mana-mana anggota gabungan berkenaan terkeluar sekiranya menyertai gabungan politik lain.
Bagaimanapun, Bersatu menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan parti berkenaan belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik termasuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).-UTUSAN.
The post Bersatu masih anggota PN – Ahmad Samsuri appeared first on Utusan Malaysia.






