
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan menurunkan calon menggunakan simbol parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 selepas rundingan pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai kata sepakat.
Keputusan itu diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang berlangsung malam ini, sekali gus memberi bayangan berlakunya keretakan dalam rundingan melibatkan parti-parti komponen PN menjelang hari penamaan calon.
Muhyiddin berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan kegagalan memuktamadkan agihan kerusi selain mendakwa Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan berkaitan pembahagian kerusi oleh gabungan itu.
“Oleh kerana Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN, maka Bersatu akan meletakkan calon-calon parti bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan semua calon akan menggunakan simbol Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Pas yang didakwa membuat keputusan secara unilateral sehingga menjejaskan kepentingan PN sebagai gabungan politik nasional.
Menurutnya, kenyataan beberapa pimpinan Pas yang didakwa memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor sebelum ini dan kini dalam PRN Negeri Sembilan tidak pernah mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.
“Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan keputusan unilateral Pas yang bertentangan dengan kepentingan PN,” katanya.
Muhyiddin turut mendakwa sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik atau hala tuju gabungan sepatutnya dibincangkan dan dipersetujui terlebih dahulu di peringkat Majlis Tertinggi PN kerana ia melibatkan dasar utama gabungan.
Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN yang sepatutnya memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota juga ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.
Perkembangan itu menyaksikan Bersatu mengambil pendirian untuk bergerak sendiri di Negeri Sembilan dengan menggunakan lambang parti, sekali gus menambah tekanan terhadap usaha penyelarasan kerjasama dalam PN menjelang PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang bakal menyaksikan penamaan calon pada Sabtu ini.






