
KUALA LUMPUR - MENTERI Besar sementara Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan beliau meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, sebaliknya menegaskan, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, beliau menyerahkan tanggungjawab mempertahankan kerusi Sikamat, yang diwakilinya selama empat penggal berturut-turut, kepada Setiausaha Politiknya, Nor Azman Mohamad.
“Saya bukan lari dari Sikamat.
“Kini, saya menyerahkan amanah untuk meneruskan khidmat di Sikamat kepada Ustaz Norazman. Pesan saya mudah, jagalah Sikamat sebaik-baiknya. Sayangilah rakyatnya sebagaimana saya menyayangi mereka,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Jelas Aminuddin, tindakan bertanding di kerusi DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dibuat secara sukarela selepas pertimbangan yang teliti.
“Keputusan saya untuk bertanding di DUN Linggi adalah atas pilihan dan kehendak saya sendiri. Saya ingin meneruskan khidmat serta berbakti kepada masyarakat di Linggi.
“Insya-Allah, jika diberikan kepercayaan dan kemenangan oleh rakyat, saya akan bekerja dengan lebih kuat, lebih gigih dan sebaik mungkin demi kesejahteraan seluruh penduduk DUN Linggi,” katanya.
Aminuddin pada Selasa lalu diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi DUN Linggi ketika majlis pengumuman calon gabungan itu, manakala Nor Azman dipilih untuk mempertahankan kerusi DUN Sikamat.
Naib Presiden PKR itu sebelum ini mengakui Linggi bukanlah kerusi yang selamat kerana sekian lama dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan untuk berpindah kawasan dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan strategik bagi membolehkan PH merampas kerusi itu daripada BN.
Mengimbas perjalanan politiknya, Aminuddin berkata Sikamat mempunyai makna yang amat istimewa kerana di situlah beliau memulakan kerjaya politik selepas memenangi kerusi berkenaan pada 2008.
"Empat penggal saya diberi amanah sebagai ADUN Sikamat. Dari seorang wakil rakyat pembangkang sehinggalah diamanahkan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, saya tetap bersama rakyat Sikamat.
“Sikamatlah yang memberi peluang kepada saya pada tahun 2008. Di situlah bermulanya perjalanan politik saya. Penduduk Sikamat menjadi saksi bagaimana susah dan payahnya perjalanan itu.
“Dari sebuah pejabat kecil di atas kedai, dengan peruntukan yang serba terhad ketika menjadi pembangkang, kami bersama-sama berusaha mencari dana, membantu rakyat dan menganjurkan pelbagai program demi kebajikan penduduk. Semua kenangan itu tidak akan saya lupakan,” katanya.
Aminuddin berkata, sepanjang berkhidmat di Sikamat, beliau berjaya membina hubungan yang erat dengan penduduk sehingga melangkaui hubungan biasa antara wakil rakyat dan pengundi.
“Hubungan saya dengan masyarakat Sikamat juga telah lama melangkaui hubungan antara ADUN dan rakyat. Kami sudah seperti sebuah keluarga.
“Setiap kali saya pulang ke Sikamat, saya tidak pernah merasakan seperti menghadiri program rasmi, sebaliknya seperti pulang ke kampung sendiri. Isteri dan anak-anak saya juga cukup akrab dengan masyarakat di sana. Begitulah eratnya hubungan saya dengan Sikamat.
“Terima kasih, Sikamat. Jasa dan kasih sayang kalian akan sentiasa terpahat dalam hati saya,” katanya. - Getaran, 16 Julai 2026






