Bersedia menjadi mahasiswa matang di menara gading

7 Sep 2026 • 11:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bersedia menjadi mahasiswa matang di menara gading

Tahniah atas kejayaan anda menerima tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT). Anda bukan sekadar mendapat tawaran universiti tetapi menerima amanah dan harapan ibu bapa, keluarga serta negara.

Fokus ‘Pendidikan Tinggi Baharu’ adalah menggariskan lonjakan transformasi dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia. Ini bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap keperluan masa depan dan cabaran global.

Pendidikan yang berstruktur dan pembelajaran formal berkembang kepada pembelajaran sepanjang hayat merentas kehidupan.

Ini bagi memastikan pendidikan di Malaysia bersifat dinamik dan sentiasa berkembang mengikut trend serta cabaran yang timbul. Bagi memastikan kekal relevan dan berkesan, tumpuan juga diberikan kepada perkongsian erat dengan industri serta komuniti.

Di samping itu, sinergi antara sektor perlu dimanfaatkan bagi memastikan sistem pendidikan tinggi kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.

Harapan dan cita-cita setiap pelajar adalah untuk menyambung pengajian ke menara gading.

Keputusan UPUOnline yang diumumkan memberikan nafas lega apabila seramai 82,092 calon atau 76.1 peratus daripada 107,875 permohonan yang layak bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda ke 20 universiti awam.

Secara keseluruhannya, sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan bagi sesi 2026/2027. Sudah pastinya pengambilan pelajar berasaskan sistem meritokrasi dan semuanya akan mendapat tawaran sekiranya berkelayakan.

Statistik tersebut menggambarkan harapan setiap keluarga yang mengimpikan perubahan dalam kehidupan.

Angka ini tidak termasuk bilangan pelajar yang berpeluang membuat rayuan sekiranya tidak berjaya pada fasa pertama. Kemungkinannya ramai antara bakal mahasiswa yang masih memikirkan tawaran yang diterima.

Ini kerana tidak semuanya mendapat tawaran bagi kursus pilihan pertama. Apa pun program yang ditawarkan, yakinlah bahawa setiap langkah adalah sebahagian daripada perjalanan menuju masa depan yang lebih gemilang. Perlu difahami bahawa permohonan anda diproses dengan mengambil kira kelayakan mengikut syarat am dan syarat khas.

Image from: Bersedia menjadi mahasiswa matang di menara gading
Pelajar perlu menggunakan peluang berada di universiti untuk mencipta kejayaan dan mengubah masa depan diri dan keluarga. – Gambar hiasan

Pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sokongan disediakan agar tiada mahasiswa yang terpinggir di setiap IPT. Pelbagai inisiatif dilakukan seperti pelaksanaan Program

Dapur Siswa Madani, bantuan Zakat dan Dermasiswa. Ini menunjukkan peranan IPT dalam membantu bakal mahasiswa menggapai cita-cita mereka.

Inisiatif tersebut telah diuar-uarkan kepada ibu bapa dan bakal mahasiswa dengan menggunakan pelbagai saluran media sosial.

Bagi memastikan bakal mahasiswa dapat mengikuti pembelajaran dengan sempurna, bantuan peranti pembelajaran turut disediakan bagi yang berkelayakan.

Bagi memberi kelegaan kepada para ibu bapa dan penjaga, inisiatif dilakukan agar pelajar berpeluang untuk ‘daftar dahulu bayar kemudian’. Ini bagi memastikan bahawa tiada seorang pun bakal mahasiswa yang merasakan diri mereka terpinggir dan berada dalam keadaan serba salah ketika melanjutkan pengajian.

Mahasiswa yang berkelayakan sudah pastinya akan mendapat bantuan kewangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Gunakan juga ruang untuk mendapatkan biasiswa dan tajaan lain apabila anda sudah berada dalam dunia kampus.

Ketika anda sedang membuat persiapan di rumah, pihak IPT sudah membuat persiapan awal bagi menyambut kehadiran anda. Seluruh barisan pengurusan IPT termasuk para tenaga pensyarah sedang menghitung detik kehadiran anda.

Jawatankuasa pengurusan penginapan siswa, Majlis Perwakilan Pelajar, Pusat Kesihatan Universiti dan pelbagai pusat tanggungjawab sedang rancak membuat pelbagai persiapan.

Terdapat juga IPT yang mengambil inisiatif menyediakan kemudahan penginapan sementara di masjid khususnya sempena musim pendaftaran pelajar baharu. Kemudahan tersebut disediakan bagi membantu ibu bapa, keluarga dan waris pelajar yang tidak mempunyai tempat penginapan atau memerlukan tempat berehat untuk sementara waktu.

Semuanya tertakluk pengumuman rasmi pada setiap musim pendaftaran pelajar. Manfaatkan segala kemudahan yang disediakan secara berhemah. Seharusnya juga usaha murni sebegini dihargai dan diberikan penghargaan.

Gunakan peluang yang telah diperoleh untuk mencipta kejayaan dan mengubah masa depan anda dan keluarga. Di bahu anda terletak harapan keluarga, agama dan bangsa.

Pengajian anda akan mendapat bantuan daripada pihak kerajaan. Usah sia-siakan ruang yang diberikan bagi membina bakat dan keterampilan. Bersedia dan berlapang dada untuk dipimpin bagi tujuan kecemerlangan. Vince Lombardi menyatakan “Leaders are made, they are not born. They are made by hard effort, which is the price which all of us must pay to achieve any goal that is worthwhile.”

Ini menunjukkan bahawa seseorang pemimpin perlu dibentuk melalui asuhan dan didikan. Justeru, selain keluarga, sekolah dan IPT merupakan tempat terbaik untuk mengasah serta membentuk diri menjadi seorang pemimpin.

Dalam konteks semasa, graduan bermutu yang bakal dilahirkan perlu berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian positif. Gunakan kesempatan yang terbuka luas di alam kampus bagi menambah ilmu baharu, melibatkan diri dalam kokurikulum dan cakna terhadap budaya kesukarelawanan.

Berjiwa sukarelawan akan membawa kepada budaya membantu orang lain, mengambil inisiatif dan menawarkan bantuan tanpa menunggu arahan.

Kesemuanya memerlukan komitmen serta pengorbanan yang tinggi dari segi masa dan tenaga. Masa depan gemilang anda bermula dengan satu langkah yang pertama.

Semoga keyakinan dan kesungguhan anda akan berjaya menjadi mahasiswa yang matang di menara gading.

The post Bersedia menjadi mahasiswa matang di menara gading appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved