SUKIPT medan bangun bakat sukan negara

7 Sep 2026 • 11:37 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SUKIPT medan bangun bakat sukan negara

SUKAN Institusi Pendidikan Tinggi edisi ketujuh (SUKIPT 2026) yang berlangsung sekitar minggu lalu dengan tema Mencipta Legasi Juara memperkukuh peranannya sebagai medan pembangunan bakat sukan institusi pengajian tinggi (IPT) dan berpotensi membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Berlangsung dari 28 Ogos hingga semalam di Universiti Malaya (UM), SUKIPT 2026 menghimpunkan 64 kontinjen terdiri daripada 20 universiti awam, 42 universiti atau institusi pendidikan tinggi swasta, sebuah politeknik dan sebuah kolej komuniti untuk bersaing dalam 30 jenis sukan.

Majlis Perasmian SUKIPT 2026 telah berlangsung pada 28 Ogos lalu dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir di UM.

SUKIPT 2026 melibatkan anggaran 10,994 orang, terdiri daripada 8,244 atlet, 2,000 pegawai dan petugas serta 750 sukarelawan mencerminkan skala penyertaan yang semakin berkembang dalam ekosistem sukan IPT.

Penganjuran tahun ini turut membawa aspirasi lebih besar apabila SUKIPT diposisikan sebagai laluan pembangunan atlet secara berterusan. Saingan berlangsung di pelbagai lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang termasuk UM, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Kebangsaan

Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan lain-lain dengan 227 pingat emas, 227 perak dan 271 gangsa dipertandingkan.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, di sebalik sorakan penyokong, kilauan pingat dan persaingan sengit antara IPT membawa cerita yang jauh lebih besar daripada sekadar menentukan siapa juara.

Menurutnya, temasya tersebut menjadi antara medan penting dalam ekosistem pembangunan atlet mahasiswa negara.

Ia juga membuka ruang kepada golongan muda membina pengalaman dalam kepimpinan, pengurusan acara, kesukarelawanan dan keusahawanan.

Image from: SUKIPT medan bangun bakat sukan negara
Temasya ini dilhat menjadi platform yang menghubungkan pembangunan atlet di peringkat universiti dengan laluan lebih besar untuk mewakili negara.

“Kehadiran atlet yang pernah membawa cabaran negara di Sukan SEA, Sukan Universiti ASEAN (AUG) serta kejohanan antarabangsa membuktikan gelanggang universiti kini bukan lagi sekadar pentas pertandingan antara kampus.

“Sebaliknya, SUKIPT menjadi platform yang menghubungkan pembangunan atlet di peringkat institusi dengan laluan lebih besar untuk mewakili negara. Dalam beberapa acara, atlet berpengalaman di peringkat antarabangsa turut beraksi bersama bakat muda universiti sekali gus meningkatkan tahap persaingan dan memberikan pendedahan bernilai kepada atlet yang sedang membina nama,” katanya.

Jelasnya, situasi itu menjadikan SUKIPT medan terbaik untuk bakat baharu mengukur kemampuan sebelum melangkah ke kejohanan lebih tinggi.

“Peranan universiti dalam pembangunan sukan negara semakin penting apabila ramai atlet kebangsaan pada masa sama sedang mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi. Mereka bukan sahaja perlu mempertahankan prestasi di gelanggang, malah berdepan cabaran mengimbangi latihan intensif, pertandingan dan tuntutan akademik.

“Justeru, sokongan institusi melalui kemudahan latihan, kepakaran sains sukan, pengurusan akademik yang baik serta persekitaran pembelajaran kondusif menjadi elemen penting dalam memastikan atlet tidak perlu memilih antara pendidikan dengan kerjaya sukan,” katanya.

SUKIPT menyediakan pentas kepada atlet muda untuk berdepan pesaing lebih berpengalaman termasuk atlet kebangsaan, sekali gus membantu mempercepat proses pematangan mereka.

“Tahap kompetitif SUKIPT 2026 turut dipertingkat melalui tawaran insentif RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan. Ia memberi mesej bahawa temasya sukan IPT bukan hanya pertandingan di peringkat universiti, malah mempunyai sasaran prestasi yang lebih tinggi,” katanya.

Justeru, nilai sebenar SUKIPT bukan hanya terletak pada jumlah pingat yang dibawa pulang sesebuah kontinjen.
Lebih besar daripada itu, temasya tersebut mencerminkan bagaimana IPT mampu menjadi sebahagian daripada rantaian pembangunan bakat sukan negara.

The post SUKIPT medan bangun bakat sukan negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved