liza23/10/2026 - 11:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Bestari Food Berhad mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menyenaraikan sahamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, sekali gus membuka laluan kepada rancangan pengembangan kapasiti pengeluaran dan rangkaian produknya.
Syarikat pengeluar campuran bahan makanan (food premixes) itu turut diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah SC.
Bestari Food berkata tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu akan melibatkan terbitan kira-kira 77.1 juta saham biasa baharu serta tawaran jualan sehingga kira-kira 56.3 juta saham sedia ada.
Secara keseluruhan, IPO itu melibatkan sehingga kira-kira 133.4 juta saham, bersamaan 29.6% daripada 450 juta saham terbitan yang diperbesarkan selepas IPO.
Tawar 22.5 juta saham kepada orang awam
Di bawah tawaran institusi, sehingga 100 juta saham diperuntukkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia.
Sementara itu, sebanyak 22.5 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala kira-kira 10.8 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan Bestari Food.
Pengarah Urusan Bestari Food, Lai Kok Siong berkata, kelulusan SC itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi sebuah syarikat tersenarai awam.
Menurutnya, penyenaraian berkenaan akan menyediakan platform lebih luas untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya, selain meningkatkan keterlihatan jenama dan kesedaran pasaran terhadap produk campuran bahan makanan keluaran syarikat.
Dana IPO untuk tanah dan kemudahan pengeluaran baharu
Lai berkata, hasil daripada terbitan saham baharu akan digunakan untuk membeli sebidang tanah perindustrian bagi membangunkan kemudahan pengeluaran baharu.
Dana itu juga akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperluas aktiviti pemasaran dan promosi serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Kemudahan baharu berkenaan turut menyokong rancangan Bestari Food untuk mengembangkan aktiviti pemprosesan bahan ramuan serta memperluas rangkaian produknya.
Beliau berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pengembangan keupayaan pengeluaran, pembangunan produk campuran bahan makanan baharu dan peluasan capaian pasaran jenama Bestari.
Menurutnya, inisiatif itu dijangka membantu kumpulan meneroka peluang pertumbuhan dalam industri campuran bahan makanan.
Fokus pada produk jenama Bestari
Bestari Food terlibat dalam pengeluaran campuran bahan makanan, pembekalan bahan makanan serta peralatan pemprosesan dan pengeluaran makanan. Syarikat itu turut menjual alat ganti berkaitan dan menyediakan perkhidmatan pemasangan, pembaikan serta penyelenggaraan.
Produk campuran bahan makanan keluaran kumpulan merangkumi tepung berperisa, campuran perasa dan campuran asas makanan lain yang kebanyakannya dipasarkan di bawah jenama Bestari.
Produknya ditawarkan dalam pelbagai saiz pembungkusan, termasuk pek kecil untuk jualan runcit dan pek komersial bersaiz besar untuk pengeluar makanan, hotel, restoran, kafe serta pengusaha katering.
Antara produknya termasuk tepung salutan ayam goreng, perasa telur masin, serbuk kari segera dan tepung bancuhan tempura.
RHB Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO Bestari Food. - DagangNews.com




