SNT Global Logistics labur RM80 juta bangunkan gudang pintar di Shah Alam

LocalTechnology
23 Oct 2026 • 2:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SNT Global Logistics labur RM80 juta bangunkan gudang pintar di Shah Alam Image from: SNT Global Logistics labur RM80 juta bangunkan gudang pintar di Shah Alam liza23/10/2026 - 14:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – SNT Global Logistics Sdn Bhd melabur RM80 juta untuk membangunkan gudang pintar seluas 175,000 kaki persegi di U10, Shah Alam yang menggunakan teknologi automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepatkan pemprosesan pesanan pelanggan.

 

Gudang baharu itu menggabungkan teknologi robotik, kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi dengan perisian Sistem Pengurusan Gudang (WMS) yang dibangunkan secara dalaman oleh syarikat berkenaan.

 

Menurut SNT, penggunaan teknologi itu meningkatkan kecekapan operasi sebanyak 50% dan kadar pemprosesan pesanan sebanyak 100%, membolehkan syarikat mengendalikan jumlah perniagaan lebih tinggi serta memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih cekap.

 

Pelancaran gudang pintar itu adalah satu perkembangan penting bagi SNT yang ditubuhkan pada 2006, selain mencerminkan pelaburan berterusan syarikat dalam teknologi bagi menyokong pertumbuhan industri logistik.

 

Automasi tingkatkan kecekapan pengurusan gudang

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SNT, David Wong berkata, perkembangan perniagaan menerusi pelbagai saluran jualan dalam talian dan luar talian menjadikan pengurusan inventori, pemprosesan pesanan serta penghantaran semakin kompleks.

 

“Gudang konvensional yang banyak bergantung pada tenaga kerja manual berdepan cabaran untuk mengendalikan perubahan permintaan dan peningkatan jumlah pesanan, sekali gus mendorong keperluan terhadap penyelesaian logistik yang lebih cekap.

 

“Pengurangan tugasan manual berulang turut membolehkan proses gudang dilaksanakan dengan lebih cekap, di samping menyokong peningkatan jumlah pesanan tanpa menjejaskan kemampuan syarikat menawarkan perkhidmatan pada kos berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

 

Tawar penyelesaian logistik bersepadu

Selain pergudangan dan pengangkutan, SNT menyediakan rangkaian perkhidmatan bersepadu yang merangkumi pengurusan inventori, pemenuhan pesanan, pengedaran serta penyelesaian nilai tambah lain.

 

Pendekatan itu membolehkan syarikat membantu pelanggan mengurus pesanan daripada pelbagai saluran jualan dalam talian dan luar talian tanpa perlu menyelaraskan beberapa penyedia perkhidmatan logistik secara berasingan.

 

SNT beroperasi di Malaysia dan Singapura, dengan tumpuan terhadap penyelesaian logistik yang menggabungkan teknologi, automasi dan amalan mampan bagi menyokong keperluan pelanggan.

 

Perluas rangkaian, peroleh tanah di JS-SEZ

Seiring peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pemenuhan pesanan dan logistik bersepadu, SNT sedang mempertimbangkan pengembangan lanjut bagi menyokong perniagaan di seluruh Malaysia, termasuk pembangunan sebuah gudang pintar di Lembah Klang.

 

Syarikat itu turut memperoleh tanah seluas dua ekar di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bagi menyokong operasi perniagaannya di selatan Malaysia.

 

Perkembangan itu mencerminkan perancangan jangka panjang SNT untuk memperluas rangkaian logistiknya susulan perubahan keperluan pelanggan dan pertumbuhan industri.

 

Gudang pintar terima pengiktirafan GreenRE Gold

Dalam aspek kelestarian, gudang pintar baharu itu menerima pengiktirafan GreenRE Gold bagi reka bentuk bangunan mampan.

 

Fasiliti berkenaan dilengkapi kemudahan tenaga solar, sistem penuaian air hujan, sistem penggunaan air cekap serta bahan binaan mesra alam bagi mengurangkan kesan operasi terhadap alam sekitar.

 

SNT juga merupakan antara penerima awal status Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), yang telah dilanjutkan untuk tempoh lima tahun.

 

Selain pelaburan dalam teknologi dan infrastruktur, syarikat itu berhasrat membangunkan bakat logistik masa depan menerusi kerjasama antara industri dengan institusi akademik serta inisiatif untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri logistik berasaskan teknologi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved