
PETALING JAYA: Boustead Holdings Berhad (BHB) memeterai memorandum kerjasama bersama PT MarkPlus Indonesia (MCorp) bagi memperkukuh pembangunan kepimpinan dan keupayaan organisasi menerusi penubuhan Akademi Boustead.
Kerjasama itu dilaksanakan menerusi Bahagian Pengurusan Modal Insan Kumpulan (GHCM) BHB dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan, pembudayaan prestasi tinggi serta peningkatan keupayaan organisasi.
Pengerusi BHB, Jeneral Tan Sri Dr. Abdul Aziz Zainal (B) berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha transformasi kumpulan yang memerlukan perubahan dalam pendekatan kepimpinan, budaya organisasi dan keupayaan pelaksanaan.
“Pembangunan organisasi berprestasi tinggi memerlukan persekitaran kerja yang membolehkan warga kerja meningkatkan kemahiran, mengamalkan pembelajaran berterusan serta menerapkan nilai organisasi dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan.
“Pembentukan sebuah organisasi berprestasi tinggi merupakan satu perjalanan yang berterusan. Kita perlu mewujudkan persekitaran yang memberi ruang kepada warga kerja untuk berkembang, mengamalkan pembelajaran berterusan dan menterjemahkan nilai-nilai murni melalui kepimpinan, pembuatan keputusan serta pencapaian hasil.
“Dengan melabur dalam pembangunan warga kerja hari ini, kita sedang meletakkan asas yang kukuh bagi memastikan kesiapsiagaan Boustead menghadapi masa hadapan dan kemampanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama itu turut menyokong usaha BHB memperkukuh kedudukannya dalam industri pertahanan negara, termasuk membangunkan bakat tempatan, meningkatkan keupayaan industri domestik serta meneroka peluang perniagaan baharu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan BHB, Kolonel (Kehormat) Datuk Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kumpulan dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan memastikan budaya organisasi seiring dengan perkembangan perniagaan.
“Pembangunan bakat penting bagi memastikan warga kerja mempunyai hala tuju, keyakinan dan kompetensi untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Kami mahu warga kerja kami memiliki hala tuju yang jelas, keyakinan serta kompetensi yang diperlukan untuk memberikan prestasi terbaik, di samping membina kerjaya bersama BHB.
“Inisiatif itu turut memberi penekanan kepada pembangunan pemimpin masa hadapan, kesinambungan pengetahuan institusi dan pengukuhan kepakaran khusus bagi memenuhi keperluan strategik Kumpulan,” katanya.
Memorandum kerjasama itu dimeterai oleh Ahmad Sabirin bersama Pengasas merangkap Pengerusi MCorp, Hermawan Kartajaya, dengan disaksikan oleh Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan BHB, Badrol-Izam Baharom. – UTUSAN
The post BHB, MCorp meterai MoU perkukuh kepimpinan organisasi appeared first on Utusan Malaysia.





