amree02/11/2026 - 17:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Boustead Holdings Berhad (BHB) mempergiatkan usaha memperkukuh kedudukannya dalam industri pertahanan Malaysia menerusi penubuhan Boustead Academy, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan transformasi organisasi.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan PT MarkPlus Indonesia (MCorp), yang menguruskan Kotler Marketing Institute bersama Kotler Marketing Group China, bagi membangunkan keupayaan kepimpinan serta membentuk budaya kerja berprestasi tinggi dalam kumpulan berkenaan.
Menurut kenyataan, kerjasama sulung tersebut dimeterai menerusi memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan BHB, Kolonel (Kehormat) Datuk Indera Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad serta Pengasas serta Pengerusi MCorp, Hermawan Kartajaya, pada Isnin.
Pengerusi BHB, Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, kerjasama itu berteraskan aspirasi 'Make Boustead Great Again' yang mencerminkan komitmen kumpulan bagi memulihkan budaya organisasi, mengoptimumkan potensi pekerja dan mewujudkan nilai jangka panjang secara mampan.
"Transformasi kumpulan ini bukan lagi sekadar perubahan hala tuju perniagaan, sebaliknya memerlukan perubahan dari segi pemikiran kepimpinan, budaya organisasi dan keupayaan dalam melaksanakan pelbagai strategi secara lebih berkesan," jelas beliau.
Tambahnya, pelaburan dalam pembangunan modal insan adalah penting bagi memastikan Boustead dapat mempunyai tenaga kerja berkemahiran, barisan kepimpinan berkesinambungan serta keupayaan dalam memenuhi keperluan industri pertahanan negara yang semakin berkembang.

Menerusi Boustead Academy, kumpulan berkenaan tambah Abdul Aziz, turut menyasarkan pengukuhan kedudukannya sebagai pemain pilihan dalam industri pertahanan Malaysia, selaras dengan objektif strategik Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Antara tumpuan utama termasuk usaha pengukuhan kemahiran tenaga kerja tempatan, memajukan sektor pembuatan bernilai tinggi dan inovasi teknologi, meneroka peluang perniagaan baharu serta memperluas kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, kerjasama berkenaan merupakan pelaburan terhadap pembangunan bakat yang akan membentuk hala tuju baharu Boustead, selain memastikan pekerja mempunyai keupayaan, keyakinan dan kemahiran untuk mencapai prestasi terbaik.
"Usaha ini juga penting bagi syarikat menyediakan barisan pemimpin masa depan, di samping dapat mengekalkan pengetahuan institusi serta membangunkan kepakaran khusus yang diperlukan bagi menyokong keutamaan strategik kumpulan," kata beliau.
Boustead yang dimiliki sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kini sedang melaksanakan program transformasi dan pembaharuan strategik bagi meningkatkan daya tahan operasi, memperkukuh daya saing serta menyokong aspirasi pembangunan industri pertahanan negara. - DagangNews.com






