‘Biarlah orang Negeri Sembilan cari penyelesaian’

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 12:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Biarlah orang Negeri Sembilan cari penyelesaian’

KUALA LUMPUR – Penyelesaian kepada kemelut di Negeri Sembilan perlu dikembalikan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) yang menjadi asas pemerintahan kepada negeri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, secara peribadi beliau berpandangan isu berkenaan juga seharusnya diserahkan kepada orang Negeri Sembilan sendiri untuk diselesaikan.

“Saya tidak bertanggungjawab menjaga AGC (Jabatan Peguam Negara), tetapi saya telah baca kenyataan tersebut. Mungkin itu pandangan Tan Sri (Tan Sr Mohd. Dusuki Mokhtar), tapi saya nak tekan di sini satu benda sahaja.

“Saya rasa kita kena berbalik kepada Undang-Undang Tubuh Negeri sebab itu Perlembagaan negeri. Saya tak nak menyebelahi mana-mana pihak, siapa betul siapa salah, tapi bagi saya sebarang keputusan atau apa-apa sahaja kena berbalik kepada undang-undang utama iaitu Undang-Undang Tubuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Peranan Tribunil Bagi Antibuli (TAB) di Maktab Tentera Diraja (RMC) di Sungai Besi di sini hari ini.

Azalina berkata, Negeri Sembilan mempunyai adat unik iaitu Adat Perpatih dan beliau mengakui masih kurang memahami berkaitan perkara tersebut.

“Saya orang Johor, Adat Temenggong. Adat Perpatih orang Negeri Sembilan, saya dimaklumkan ada suku, itu pun saya tak faham. Saya pun tak faham tentang banyak benda, Undang, Luak, Tanah Mengandung dan saya dimaklumkan ia ada proses-prosesnya.

“Ia menjadi panduan Negeri Sembilan sejak sekian lama dan menjadikan Negeri Sembilan sedikit unik berbanding negeri lain. Jadi kalau kita nak mengulas pun, kita bukan dari Negeri Sembilan, jadi saya berpandangan tidak adil juga.

“Saya yakin biarlah orang Negeri Sembilan cari penyelesaian Negeri Sembilan itu. Tapi ini pandangan peribadi saya bukan bahagian undang-undang, saya orang Johor,” katanya.

Berhubung tindakan Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, secara peribadi Azalina berpandangan, penukaran individu yang memegang jawatan juga pernah berlaku di negeri lain sebelum ini.

“Saya tak boleh komen, saya tak tahu. Saya tak terlibat dalam apa-apa keputusan. Tapi bagi pandangan peribadi saya, banyak orang jadi Ketua Menteri dan Menteri besar pun, dia tukar SS (Setiausaha Sulit), SUK. Menteri pun tukar KSU (Ketua Setiausaha Kementerian), apa lagi? Pegawai undang-undang pun.

“Ia proses biasa. Kalau kita ingat masa Tun Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) jadi Perdana Menteri, dia tukar Peguam Negara. Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri… itu memang hak kepimpinan.

“Selangor pun saya ingat dia tukar SS masa MB baharu. Itu terpulang. Tapi nak komen lebih atas kenyataan Jabatan Peguam Negara, saya tak ada maklumat nak komen lebih. Saya baca apa yang semua orang baca,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Biarlah orang Negeri Sembilan cari penyelesaian’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved