Keterangan tambahan saksi pendakwaan rayuan solar Rosmah didengar 17 September

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 3:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Keterangan tambahan saksi pendakwaan rayuan solar Rosmah didengar 17 September

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 September bagi mendengar keterangan tambahan saksi pendakwaan dalam kes rasuah projek solar hibrid sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh tersebut pada sebutan kes berhubung keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Rosmah sebelum ini.

Pada masa sama, pihak pendakwaan juga memohon Mahkamah Tinggi untuk menggantung prosiding tersebut.

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir bangkit membantah permohonan tersebut atas alasan Mahkamah Rayuan telah memberi arahan jelas bahawa keterangan tambahan itu perlu didengar dalam masa dua minggu dari tarikh hari ini.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Aslam kemudian menetapkan tarikh itu selain memaklumkan perlu akur dengan arahan yang telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya berhubung sabitan dan hukuman kes rasuah solar.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli selepas mendapati keterangan tambahan mengenai saksi pendakwaan iaitu Rayyan Radzwill Abdullah boleh memberi kesan material terhadap dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Ia yang mana saksi pendakwaan ke-16 itu akan dipanggil semula untuk pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula lanjut, dengan prosiding tersebut perlu dijalankan dalam tempoh dua minggu selepas pengurusan kes yang seterusnya.

Keterangan baharu itu termasuk satu akuan berkanun oleh Rayyan, saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan Rosmah serta keterangan lisan lanjut beliau.

Mahkamah memerintahkan supaya keterangan tambahan itu dikemukakan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang berbeza.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah ialah Datuk Dr. Choo Kah Sing dan K.Muniandy.

Justeru dengan keputusan tersebut tarikh-tarikh bagi pendengaran rayuan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan.

Terdahulu, Rosmah memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya.

Dalam notis usul bertarikh 21 Julai, Rosmah memohon kebenaran mengikut Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, serta Kaedah 68 dan 69 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994, untuk mengemukakan tiga dokumen tambahan sebagai keterangan semasa pendengaran rayuannya.

Sementara dalam afidavit sokongan permohonan itu yang dilihat Rosmah mendakwa saksi pendakwaan Rayyan Radzwill Abdullah ditekan memberikan keterangan bagi menunjukkan bahawa beliau bersalah ketika dibicarakan. – KOSMO! ONLINE

The post Keterangan tambahan saksi pendakwaan rayuan solar Rosmah didengar 17 September appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved