Big Caring berdepan risiko pasaran farmasi tepu dalam tiga tahun - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Big Caring berdepan risiko pasaran farmasi tepu dalam tiga tahun - BIMB Securities Image from: Big Caring berdepan risiko pasaran farmasi tepu dalam tiga tahun - BIMB Securities sarah11/11/2026 - 12:50 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Big Caring Group Berhad (BCG) dijangka berdepan ruang pertumbuhan yang semakin terhad dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang apabila persaingan dalam industri farmasi runcit tempatan semakin sengit, menurut BIMB Securities Research.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan rangkaian farmasi BCG berpotensi berkembang kepada kira-kira 834 cawangan, berbanding 668 cawangan setakat 30 September 2026, sebelum peluang membuka premis baharu di lokasi yang berdaya maju menjadi semakin terhad.

 

Menurut BIMB Securities, BCG masih mempunyai ruang untuk membuka 166 cawangan tambahan di lokasi yang dikenal pasti berpotensi, namun pertumbuhan jangka panjang kumpulan perlu disokong oleh strategi lain termasuk pengambilalihan perniagaan dan peluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

Firma itu menjangkakan persaingan semakin ketara apabila pengendali farmasi lain turut memperluas rangkaian masing-masing, sekali gus berpotensi menjejaskan jualan setiap cawangan baharu apabila pasaran semakin tepu.

 

Kajian BIMB Securities turut mendapati 85% cawangan BCG mempunyai sekurang-kurangnya sebuah farmasi berlesen milik pesaing dalam lingkungan 500 meter, menggambarkan tahap persaingan yang tinggi di kawasan operasi sedia ada.

 

Penilaian saham berpotensi meningkat selepas IPO

Bagaimanapun, BIMB Securities menjangkakan saham BCG berpotensi menikmati penilaian lebih tinggi selepas penyenaraian berikutan sokongan pelabur institusi. Sebanyak 19 pelabur utama telah mengambil 96.2% daripada saham yang ditawarkan kepada pelabur institusi bukan Bumiputera, sekali gus berpotensi menyokong permintaan terhadap saham kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan keuntungan bersih teras BCG meningkat kira-kira 30% kepada RM309 juta bagi tahun kewangan berakhir Jun 2027, disokong pembukaan 50 cawangan baharu serta pengurangan kos pembiayaan selepas penyenaraian.

 

Bagi tahun kewangan 2029, keuntungan bersih teras kumpulan diunjurkan meningkat kepada RM404 juta, namun BIMB Securities berpandangan pertumbuhan selepas tempoh itu semakin bergantung kepada peningkatan jualan di cawangan sedia ada dan pengambilalihan perniagaan.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan melihat tempoh dua hingga tiga tahun selepas penyenaraian sebagai jangka masa yang lebih sesuai untuk menilai potensi pertumbuhan BCG, sebelum persaingan dan kekangan pembukaan cawangan baharu menjadi lebih ketara.

 

BIMB Securities memulakan liputan terhadap BCG dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.30 sesaham, berbanding harga IPO RM1.08, yang membayangkan potensi pulangan keseluruhan sekitar 22%. Firma itu turut melihat paras RM1.60 sebagai tahap yang wajar dipertimbangkan untuk mengambil keuntungan sekiranya saham berkenaan mencatatkan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved