sarah11/11/2026 - 11:15 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Saham Bina Darulaman Berhad (BDB) mencatatkan pemulihan ketara apabila meningkat kira-kira 36.4% daripada paras terendah 16.5 sen pada awal Oktober 2026 kepada 22.5 sen, disokong momentum belian yang semakin kukuh selepas hampir setahun berada dalam aliran menurun.
Menurut Mercury Securities, peningkatan itu menyaksikan saham syarikat berpangkalan di Kedah berkenaan berjaya melepasi garisan aliran menurun selama 12 bulan yang terbentuk sejak November 2025, sekali gus memberi petunjuk awal kemungkinan perubahan arah kepada aliran menaik.
Firma penyelidikan itu berkata, penembusan paras berkenaan menunjukkan minat belian pelabur kembali meningkat selepas saham BDB mengalami penyusutan berpanjangan, dengan momentum positif dijangka berterusan sekiranya sokongan pasaran kekal kukuh.
Dalam laporan analisis teknikal, Mercury Securities berkata, saham BDB turut kembali diniagakan melebihi purata pergerakan eksponen (EMA) bagi tempoh 20, 50 dan 200 hari, sekali gus mengukuhkan petunjuk pemulihan harga saham.
Selain itu, indeks kekuatan relatif (RSI) meningkat kepada 75.08, mencerminkan momentum belian yang kukuh, manakala petunjuk Moving Average Convergence Divergence (MACD) turut menunjukkan isyarat positif terhadap pergerakan saham berkenaan.
Bagaimanapun, Mercury Securities mengingatkan bacaan RSI yang sudah memasuki kawasan terlebih beli menunjukkan kemungkinan berlaku penyusutan sementara atau pergerakan mendatar dalam tempoh terdekat, meskipun prospek teknikal keseluruhan semakin baik.
BDB merupakan syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam pembangunan hartanah, pembinaan, pengkuarian dan perniagaan rekreasi, selain melaksanakan projek infrastruktur serta penyelenggaraan jalan raya, dengan operasi utamanya tertumpu di Kedah.
Dari segi prospek harga, Mercury Securities menjangkakan saham BDB berpotensi menguji paras rintangan 23.5 sen sebelum meningkat kepada 25 sen sekiranya momentum belian berterusan. Paras sokongan dikenal pasti pada 21.5 sen dan 20.5 sen, manakala kegagalan mengekalkan paras tersebut boleh menjejaskan momentum pemulihan.- DagangNews.com






