Binastra dijangka biayai projek baharu tanpa tambah pinjaman, disokong tunai bersih RM80.8 juta - Mercury Securities

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 11:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Binastra dijangka biayai projek baharu tanpa tambah pinjaman, disokong tunai bersih RM80.8 juta - Mercury Securities Image from: Binastra dijangka biayai projek baharu tanpa tambah pinjaman, disokong tunai bersih RM80.8 juta - Mercury Securities sarah11/11/2026 - 11:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Binastra Corporation Berhad (Binastra) dijangka mampu membiayai pelaksanaan projek pembinaan baharunya tanpa perlu menambah pinjaman, disokong kedudukan tunai bersih sebanyak RM80.8 juta setakat 31 Julai 2026, menurut Mercury Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kedudukan kewangan Binastra yang kukuh membolehkan kumpulan menampung keperluan modal kerja, termasuk kos permulaan projek dan pembayaran kepada kontraktor sebelum menerima bayaran kemajuan kerja daripada pelanggan.

 

Menurut Mercury Securities, Binastra memiliki tunai dan deposit jangka pendek berjumlah RM152.7 juta setakat 31 Julai 2026, termasuk RM118.7 juta yang tidak tertakluk kepada sekatan penggunaan, berbanding jumlah pinjaman sebanyak RM71.9 juta.

 

Dalam nota penyelidikan bertarikh, firma itu berkata, kekuatan kewangan tersebut memberi kelebihan kepada Binastra untuk melaksanakan kontrak pembinaan gudang pintar bernilai RM303.8 juta di Bandar Bukit Raja, Klang, tanpa memerlukan pembiayaan hutang tambahan.

 

Kontrak daripada PTT Synexis Sdn Bhd itu turut meningkatkan jumlah projek baharu yang diperoleh Binastra bagi tahun kewangan 2027 kepada RM1.6 bilion, manakala baki buku tempahan kumpulan kini berjumlah RM6.2 bilion, menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga tiga tahun.

 

Mercury Securities berkata, buku tempahan berkenaan bersamaan tiga kali hasil yang diunjurkan bagi tahun kewangan 2027 dan 2.3 kali bagi 2028, sekali gus menyokong kesinambungan aktiviti pembinaan kumpulan dalam tempoh sederhana.

 

Firma itu turut menaikkan unjuran keuntungan bersih Binastra bagi tahun kewangan 2027 sebanyak 5.2% kepada RM176.7 juta dan 3.9% kepada RM214.3 juta bagi 2028, mengambil kira sumbangan kontrak baharu. Prospek kumpulan juga disokong pengembangan perniagaan dalam sektor pusat data, pemasangan solar dan kejuruteraan khusus.

 

Sehubungan itu, Mercury Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap Binastra dengan menaikkan harga sasaran kepada RM3.24 sesaham daripada RM3.12 sebelum ini. Bagaimanapun, firma itu mengingatkan bahawa kelewatan pelaksanaan projek, peningkatan kos pembinaan dan harga bahan mentah kekal sebagai risiko kepada prestasi kumpulan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved