amree11/11/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov — Panda Eyes Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd sebagai langkah penting menjelang cadangan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, yang dirancang pada Januari 2027.
Perjanjian tersebut melibatkan sebanyak 121.875 juta saham baharu oleh M&A Securities, merangkumi saham diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia serta melalui peruntukan Borang Merah Jambu kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan berkenaan.
Panda Eyes yang ditubuhkan pada 2016 menjalankan perniagaan reka bentuk dan peruncitan produk fesyen termasuk pakaian, beg serta aksesori peribadi di bawah jenama sendiri, selain menjual produk pihak ketiga seperti kecantikan, penjagaan diri, permainan dan barangan kediaman.
Kumpulan itu mengendalikan model perniagaan omnichannel yang menggabungkan jualan fizikal dan dalam talian, dengan 33 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia setakat 2 Mac 2026, selain platform e-dagang TikTok Shop dan Shopee yang disokong aktiviti siaran langsung.
"Cadangan IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 325 juta saham baharu, mewakili kira-kira 20% daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat, serta tawaran jualan 162.5 juta saham yang sedia ada bersamaan 10%," kata Panda Eyes dalam kenyataan pada Rabu.
Daripada saham baharu itu, sebanyak 81.25 juta diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, manakala 40.625 juta saham ditawarkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak. Baki 203.125 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pengarah Urusan Panda Eyes, Wang Liang Long berkata, pemeteraian perjanjian berkenaan menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kumpulan untuk menjadi syarikat tersenarai selepas membina jenama fesyen mampu milik dengan kehadiran dalam talian dan fizikal sejak 2016.
Beliau berkata, kehadiran di TikTok Shop dan Shopee yang mempunyai gabungan 2.6 juta pengikut membolehkan kumpulan mencapai pelanggan di luar kawasan operasi cawangan fizikal, sekali gus memperkukuh keterlihatan jenama di seluruh negara.
"Sebahagian besar hasil IPO akan digunakan untuk membuka sehingga 15 cawangan baharu di Malaysia, menaik taraf premis sedia ada bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah serta memperkukuh modal kerja untuk menyokong perkembangan perniagaan," jelas beliau.
Selain itu ujar Liang Long, Panda Eyes turut menggunakan dana dalaman bagi memperluas aktiviti siaran langsung selama 18 jam sehari menerusi penambahan dua studio baharu kepada lima studio sedia ada, selain mengambil lebih ramai tenaga kerja bagi aktiviti berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan M&A Equity Holdings Berhad, Datuk Bill Tan Choon Peow berkata, perniagaan dalam talian kumpulan berkenaan menyumbang kira-kira 58.5% daripada jumlah hasil RM194.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25).
Katanya, kumpulan tersebut merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM22.8 juta dengan margin kira-kira 11.7%. M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu. - DagangNews.com






