
Melangkah ke universiti ketika rakan seusia masih berada di bangku sekolah menengah mungkin kedengaran luar biasa. Namun bagi Puteri Nur Azzahra atau Ara Aziz, semua itu bukan tiket untuk berasa dirinya lebih hebat berbanding orang lain.
Di sebalik status sebagai antara mahasiswi termuda di Manipal University College Malaysia dalam bidang perubatan di peringkat asasi, remaja ini masih sama seperti anak muda lain.
Malah, anak kepada pengarah prolifik, Aziz M. Osman dan penerbit, Puteri Lily Lokman ini mengakui turut berasa gementar apabila menjejakkan kaki ke universiti itu buat pertama kali.
“Saya agak risau kerana saya pelajar paling muda dalam kelas. Bidang perubatan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipelajari. Namun, kalau saya berusaha bersungguh-sungguh, saya yakin saya mampu lakukannya,” katanya kepada Pancaindera.
Mengakui berdepan dengan cabaran tersendiri, Ara memberitahu perjalanan akademiknya menjadi lebih singkat apabila mengikuti program fast track di sekolah antarabangsa sehingga membolehkannya melangkau dua tahun persekolahan.

“Sejak kecil saya belajar di sekolah antarabangsa. Di sana terdapat program fast track yang membolehkan saya melangkau dua tahun persekolahan.
“Biasanya pelajar mengambil peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang setaraf SPM pada usia 16 tahun, tetapi saya mendudukinya ketika berusia 14 tahun,” kongsinya.
Walaupun sering dianggap genius, Ara menegaskan tiada rahsia istimewa atau amalan tertentu yang diamalkannya untuk mencapai kejayaan, sebaliknya, bekerja keras, konsisten dan mempunyai sistem sokongan yang baik adalah kunci utama untuk segalanya.

“Tiada makanan khusus. Yang paling penting berusaha bersungguh-sungguh, mempunyai disiplin kerja yang baik dan konsisten. Selain itu, sistem sokongan daripada ibu bapa dan rakan-rakan juga sangat penting. Kesihatan mental dan fizikal juga perlu sentiasa dijaga,” kongsinya.
Di sebalik jadual pembelajaran padat, penyanyi lagu Raya Gen Z itu sebenarnya mempunyai hobi yang cukup sederhana iaitu membaca ketika mempunyai masa terluang.
“Hobi terbesar saya adalah membaca buku. Saya mempunyai banyak buku fizikal dan juga buku digital dalam telefon serta iPad. Kalau nampak saya selalu memegang telefon, sebenarnya kebanyakan masa saya sedang membaca.

“Saya memang sangat gemar membaca kerana melalui pembacaan kita dapat menambah ilmu dan memperkayakan kosa kata. Membaca bukan sahaja bermanfaat, malah menyeronokkan. Selain buku berkaitan pendidikan, saya juga banyak membaca novel klasik dan novel fantasi,” kongsinya.
Turut meraih pelbagai anugerah akademik sewaktu di bangku sekolah, Ara berpendapat menjadi pelajar cemerlang tidak bermaksud perlu mengorbankan kehidupan sosial.
Katanya, keseimbangan antara akademik dan kehidupan peribadi itu sangat penting demi mengelakkan seseorang itu mengalami keletihan mental yang melampau.
“Saya percaya keseimbangan itu sangat penting. Kita masih boleh keluar bersama rakan-rakan atau meluangkan masa dengan keluarga. Tidak semestinya perlu belajar sepanjang masa. Semua perkara perlu seimbang.
“Apabila musim peperiksaan akhir semakin hampir, saya memang akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Saya belajar secara konsisten siang dan malam. Walaupun penat, semuanya berbaloi pada akhirnya,” katanya lagi.
Sebagai individu yang menjadi inspirasi kepada remaja yang seusia dengannya, Ara enggan kelebihannya disalah erti yang menganggap kejayaan hanya boleh dicapai dengan belajar tanpa henti.
Sebaliknya, bekas peserta Talk To My Manager musim pertama itu berharap lebih ramai memahami kepentingan belajar secara bijak dan menjaga kesihatan mental.
“Belajarlah bersungguh-sungguh, tetapi jangan terlalu memaksa diri. Kita perlu belajar dengan bijak, bukan sekadar belajar tanpa henti. Kalau belajar terlalu keras sehingga mengorbankan waktu tidur dan kesihatan, itu tidak baik.
“Belajar secara bijak membolehkan kita seimbangkan kehidupan untuk mengurus masa dengan lebih baik. Namun tetap mencapai keputusan yang baik,” ujarnya.
The post Bijak bukan bererti hidup hanya untuk belajar – Ara Aziz appeared first on Utusan Malaysia.





