
PETALING JAYA: Pelakon, Farah Ahmad, menyelar dakwaan sesetengah pihak yang memperlekehkan usahanya dalam bidang lakonan dengan melempar tuduhan kononnya dia meraih populariti atas nama orang lain.
Farah atau Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, 49, berkata, dia tidak pernah sesekali mengejar populariti kerana dia sudah mula membina nama sejak dulu lagi.
“Maaf, bila masa saya kejar populariti ini? Saya menceburi bidang seni yang orang luar kata sampah ini dari tahun 90-an lagi.
“Orang yang kata sampah tetapi dalam rumah masih ada televisyen dan telefon bimbit yang bila diteliti sejarah layarannya (history) tetap melihat perkara yang tidak senonoh,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Farah berkata, sekiranya dia gilakan perhatian, sudah lama dia mengikut taktik pemasaran berunsur kontroversi yang sering ditawarkan kepadanya.
“Kalau mahu popular, dah lama saya boleh buat dan akur dengan sistem pemasaran kontroversi yang ditawarkan untuk menarik minat nafsu.
“Sistem pemasaran kontroversi yang panas dan hilang maruah itu direka buat awak semua ingat perkara yang dipanaskan itu benar,” katanya.
Mengulas lanjut, Farah menegaskan bahawa bidang seni bukanlah permainan yang boleh dijadikan boneka oleh mana-mana pihak.
“Seni bukan mainan boneka anda. Anda yang sebenarnya membonekakan perasaan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Farah turut membidas dakwaan yang mengaitkan segala kejayaan dan tawaran kerjanya berpunca daripada bergantung kepada pengaruh orang lain.
“Bila awak kata saya popular disebabkan mereka, maaf, apa yang ada seperti bakat ini saya cari dan belajar sendiri. Saya pilih jalan susah sebab saya yang faham apa itu senang selepas menempuh kesusahan.
“Orang panggil saya penggambaran sebab saya minta kepada Allah mahu kerja cari duit untuk anak-anak dan berkongsi rasa yang diizinkan.
“Saya tidak menumpang sesiapa tetapi hanya berkongsi rasa dan masa kerana kerja seni memerlukan kerjasama,” katanya.
Untuk rekod, Farah Ahmad mula aktif dalam dunia lakonan sejak tahun 1998 menerusi pentas teater sebelum dikenali ramai melalui filem-filem popularnya seperti Roh (2019), Prebet Sapu (2020), dan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022).
The post Bila masa saya kejar populariti?, saya ceburi bidang seni tahun 90-an lagi – Farah Ahmad appeared first on Utusan Malaysia.






