Stigma perceraian pernah buat saya rasa takut – Linda Hashim 

Family & ParentingLifestyle
20 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Stigma perceraian pernah buat saya rasa takut – Linda Hashim 

Tiada pasangan yang berkahwin mengharapkan perceraian menjadi pengakhiran bahtera yang dilayar bersama. Namun, perkara itu menjadi lembaran baru buat pelakon, Linda Hashim yang semakin terbiasa menjalani rutin hariannya sebagai ibu tunggal setelah berpisah dengan bekas suaminya, Beego. 

Kata pemilik nama Norhazlinda Hashim, dia menganggap segala kesukaran yang pernah dilalui sebelum ini sebagai pengalaman yang membentuk dirinya menjadi seorang wanita lebih kuat dan berdikari.

“Saya menjalani kehidupan selepas bercerai sama saja seperti sebelumnya. Yang berbeza kini cuma status saya sahaja yang berubah. Apa yang dilalui selepas bercerai ini sebenarnya Allah sudah permudahkan. 

“Kesukaran dalam rumah tangga sudah berlaku terlalu lama dan ketika itulah saya belajar bagaimana hendak menjadi kuat, membesarkan anak-anak dan menanggung mereka sendirian. Semua itu saya sudah belajar sebelum perceraian lagi. 

“Jadi, apabila sudah bercerai, saya tidak rasa terbeban atau mahu mengeluh kerana sudah melalui dan belajar banyak perkara sebelum ini. Alhamdulillah, anak-anak juga okey dan mereka faham akan situasi yang sedang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Meskipun hubungannya bersama bekas suami sudah menemui noktah, Linda bagaimanapun menegaskan dirinya tidak menghalang tiga orang cahaya matanya untuk terus berhubung dengan bapa mereka.

Pun begitu, pelakon itu mengakui perceraian yang berlaku membuka matanya dan berpendapat wanita tidak seharusnya meletakkan sepenuh kebergantungan kepada suami, terutama dalam aspek kewangan.

“Sebagai wanita, macam mana sekalipun kita jangan terlalu bergantung kepada suami. Wanita perlu mencari duit sendiri, bekerja dan mempunyai simpanan sendiri. Kalau apa-apa berlaku di masa akan datang, kita mampu berdiri di atas kaki sendiri. 

“Sebelum berkahwin pun saya memang seorang yang berdikari. Saya mencari duit sendiri dan tidak bergantung kepada sesiapa. Malah, ketika itu saya juga membantu menanggung bapa dan adik yang masih belajar.

“Saya bekerja berdasarkan projek sahaja. Kalau ada projek, adalah pendapatan. Kita perlu cari dan berusaha untuk mendapatkan pendapatan sendiri. Rezeki memang ada, tetapi kalau kita tidak berusaha pun tiada guna,” kongsinya.

Image from: Stigma perceraian pernah buat saya rasa takut – Linda Hashim 

Kini jadi inspirasi

Biarpun pelbagai onak duri telah ditempuhi, pelakon berusia 42 tahun itu menganggap kisah kegagalan rumah tangganya mengubah kehidupannya 360 darjah apabila setiap satu impiannya yang tertangguh kini tercapai.

Kata Linda, dirinya kini lebih gemar mencuba pelbagai perkara yang baharu demi meraih mata pencarian buat tiga puteri kesayangannya.

“Benarlah orang kata, menjadi ibu tunggal itu bukan perkara yang mudah. Kini, sayalah ibu, sayalah bapa yang menyara kehidupan anak-anak yang sedang membesar dan masih bersekolah.

“Kerjaya saya kini tidak tertumpu pada lakonan semata. Saya ada juga buat ulasan produk secara berbayar dan cuba pelbagai perkara baharu yang sebelum ini semasa bergelar isteri saya tidak berpeluang untuk mencuba.

“Saya anggap perpisahan itu sebagai hikmah terbaik dalam hidup saya kerana ia mengajar saya untuk menjadi seorang wanita yang kuat meskipun tidak lagi bergantung pada suami,” jelasnya.

Sedar dirinya turut menjadi inspirasi kepada golongan wanita yang menerima nasib yang sama sepertinya, Linda mendedahkan ramai kaum ibu yang menuntut nasihat daripadanya selepas dirinya berjaya keluar dari hubungan yang toksik. 

“Tidak dinafikan selepas saya bercerai, ramai sahaja yang meninggalkan pesanan mesej minta nasihat kerana melalui situasi yang sama. Namun, tidaklah saya menggalakkan mereka membuat keputusan melulu.

“Dalam setiap pergaduhan, kedua-dua belah pihak pasti ada khilafnya. Ada yang saya kongsikan apa yang saya lalui, kemudian mereka tidak jadi berpisah. Bagi saya, kesabaran itu adalah kunci buat segalanya bagi seorang isteri.

“Sewaktu saya nekad membuat keputusan untuk bercerai tahun lalu, peguam yang mewakili saya juga terkejut apabila saya mampu bersabar dalam perkahwinan itu terlalu lama. 

“Tidak dinafikan stigma masyarakat terhadap perceraian pernah membuatkan saya takut untuk melalui fasa itu seorang diri. Tetapi selepas melaluinya, segalanya dipermudahkan dan sangkaan saya sebelum ini hanyalah permainan pemikiran sahaja,” ujarnya.

The post Stigma perceraian pernah buat saya rasa takut – Linda Hashim  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved