Saya tidak tujukan kepada sesiapa hantaran itu, saya akan ambil tindakan kepada yang memfitnah – Idayu

LocalEntertainment
19 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya tidak tujukan kepada sesiapa hantaran itu, saya akan ambil tindakan kepada yang memfitnah – Idayu

PETALING JAYA: Penyanyi, Idayu, menegaskan hantaran yang dimuat naik di akaun Threads miliknya baru-baru ini tidak ditujukan kepada mana-mana penyanyi.

Idayu atau Nur Farah Idayu Yaakob, 42, berkata, hantaran itu ditulis secara umum tanpa menyentuh nama mana-mana individu pun.

Katanya, dia agak terkejut apabila ramai yang tersalah anggap dengan maksud sebenar hantarannya itu.

“Berkenaan isu di Threads itu tidak ditujukan kepada sesiapa pun dan tak ada menyebut nama sama sekali. Saya memuat naik hantaran itu lebih awal secara umum sebagai seorang pengguna platform berkenaan.

“Apa yang saya cuba sampaikan adalah berkenaan susunan muzik semata-mata dan tak ada langsung mahu menyentuh teknik vokal. Saya baca banyak komen dan terkejut ramai menyimpang maksud, tetapi tidak mengapalah kerana saya faham itu bukan bidang mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Idayu turut menyangkal tuduhan kononnya dia sengaja bersikap ‘pilih bulu’ dan hanya menyokong alumni daripada program Akademi Fantasia sahaja.

Ujarnya, sebagai pengamal muzik, dia sentiasa menghormati dan memuji sesiapa sahaja yang berbakat tanpa mengira latar belakang.

“Saya alumni muzik, artis dan pada masa sama mengajar vokal yang sangat menghargai bakat tidak kira siapa dan dari latar belakang apa sekalipun. Kalau penyanyi jalanan sekali pun ada bakat dan teknik bagus, saya tetap kagum, jadi tak relevan untuk kata saya pilih bulu,” katanya.

Mengulas mengenai reaksi negatif yang diterima, Idayu bersikap terbuka menerima kritikan membina daripada pengguna sosial.

Bagaimanapun, dia tidak akan berdiam diri terhadap tindakan melampau sesetengah pihak yang mula menghina fizikal serta melemparkan fitnah terhadapnya.

“Hantaran saya di Threads adalah harapan untuk melihat muzik Malaysia sentiasa segar dan maju. Kepada yang mengkritik saya terima dengan hati terbuka dan tidak marah, tetapi yang menghina fizikal, mencaci dan memfitnah, pasukan saya sedang mengumpul maklumat untuk tindakan undang-undang.

“Kepada peminat-peminat tegar artis di Malaysia, nasihat saya silalah jaga adab dan tutur kata. Ini kerana andalah yang membawa nama artis berkenaan sampai bila-bila,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran daripada Idayu di akaun Threads miliknya yang mendatangkan pelbagai reaksi netizen apabila dia didakwa sengaja ‘shade’ atau menyindir seseorang penyanyi.

The post Saya tidak tujukan kepada sesiapa hantaran itu, saya akan ambil tindakan kepada yang memfitnah – Idayu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved