Bila masalah rumah tangga dijadikan konten

OpinionFamily & Parenting
1 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bila masalah rumah tangga dijadikan konten

Dulu, kalau berlaku pergolakan rumah tangga, hanya ahli keluarga terdekat atau sahabat yang benar-benar dipercayai akan mengetahuinya. Malah, ramai memilih untuk memendam rasa kerana bimbang membuka aib sendiri atau keluarga.

Hari ini, keadaannya jauh berbeza. Dengan hanya beberapa sentuhan di telefon pintar, kisah suami atau isteri berlaku curang, pergaduhan pasangan malah proses perceraian boleh dikongsikan kepada ribuan, malah jutaan orang.

Inilah realiti era media sosial. Apa yang dahulunya dianggap terlalu peribadi, kini menjadi bahan perkongsian terbuka.

Ada yang memuat naik tangkap layar perbualan, gambar, rakaman suara dan pelbagai bukti untuk membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang benar.

Tidak dinafikan, ada perkongsian yang memberi manfaat. Kisah seseorang mungkin menjadi pengajaran kepada pasangan lain supaya lebih menghargai rumah tangga, lebih peka terhadap tanda-tanda kecurangan atau lebih berani keluar daripada hubungan yang toksik.

Namun, timbul satu persoalan yang wajar difikirkan. Adakah perkongsian itu benar-benar bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat, atau sekadar mencari pengesahan daripada orang ramaitindakan yang diambil adalah betul?

Dalam dunia media sosial, ‘like’, komen dan sokongan daripada netizen kadangkala menjadi sumber kekuatan, tetapi tidak semuanya datang dengan niat yang baik.

Ada yang menyokong, ada juga yang menghukum, mengecam dan terus menjatuhkan maruah individu yang terlibat.

Tidak salah untuk meluahkan rasa sedih, kecewa atau mencari sokongan ketika berdepan ujian rumah tangga.

Setiap orang berhak mendapatkan tempat untuk berkongsi dan didengari. Namun, tidak semua perkara perlu dijadikan tatapan umum.

Ada sempadan yang wajar dijaga, terutama apabila ia melibatkan maruah pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain yang turut menerima tempias.

Media sosial boleh menjadi ruang mendapatkan sokongan, tetapi jangan sampai ia bertukar menjadi pentas membuka seluruh kisah rumah tangga.

Ada luka yang lebih cepat sembuh apabila dirawat dengan hikmah, bukannya dipertontonkan kepada seluruh dunia.

Kadangkala, tidak semua yang kita rasa perlu diketahui orang lain, kerana menjaga maruah diri dan keluarga juga merupakan satu bentuk kematangan.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

The post Bila masalah rumah tangga dijadikan konten appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved