Sebar aib orang dalam LRT, MRT

30 Jul 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sebar aib orang dalam LRT, MRT

Acap kali di media sosial gambar dimuat naik dari dalam tren Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) wajah orang yang tidak dikenali menjadi bahan untuk dikecam.

Hanya kerana beberapa saat yang dirakam atau diambil gambar dengan keterangan gambar yang ‘mengundang’, seseorang terus dihukum tanpa diberi peluang menjelaskan keadaan sebenar.

Keadaan ini semakin menjadi-jadi di media sosial Threads membuatkan ramai seolah-olah berlumba-lumba menjadi ‘wartawan segera’ dengan memuat naik gambar individu yang didakwa melakukan kesalahan.

Lebih membimbangkan, identiti mereka didedahkan tanpa izin sehingga membuatkan ribuan komen menghukum sebelum fakta sebenar diketahui.

Antara isu yang sering menjadi perhatian ialah penggunaan tempat duduk khas yang diperuntukan untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita hamil.

Memang benar, ruang itu diwujudkan bagi memberi keutamaan kepada golongan yang memerlukan, namun adakah setiap orang yang duduk di situ telah melakukan kesalahan?

Hakikatnya, tidak. Jika tempat duduk itu kosong dan tiada golongan yang memerlukan, tiada salahnya orang lain duduk buat sementara waktu.

Apa yang penting ialah mereka bersedia bangun apabila individu yang layak memerlukannya. Itulah semangat sebenar di sebalik penyediaan tempat duduk keutamaan tersebut.

Malangnya, budaya hari ini sudah berubah, ada yang terus mengeluarkan telefon bimbit, mengambil gambar tanpa pengetahuan individu berkenaan, kemudian memuat naiknya ke media sosial dengan pelbagai tuduhan.

Sedangkan mungkin ketika itu tiada seorang pun warga emas atau OKU berada berhampiran.

Bayangkan jika gambar ahli keluarga kita dirakam ketika sedang tidak sihat, kemudian menjadi tular dengan pelbagai gelaran yang memalukan. Sudah tentu kita akan berasa marah kerana orang ramai hanya melihat satu gambar, bukannya keseluruhan cerita.

Budaya ‘tular dulu, siasat kemudian’ semakin membarah. Telefon pintar yang sepatutnya memudahkan kehidupan kini kadangkala menjadi alat untuk mengaibkan orang lain.

Lebih menyedihkan apabila jumlah tanda suka, perkongsian dan komen seolah-olah menjadi ganjaran kepada tindakan tersebut.

Islam sendiri mengajar umatnya menutup aib orang lain. Begitu juga nilai murni masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sikap bertimbang rasa dan saling menghormati.

Menegur dengan baik jauh lebih mulia daripada membuka ruang kepada ribuan orang menghina seseorang yang tidak dikenali dengan menyebarkan gambar tanpa usul periksa.

Media sosial memang memberi kebebasan bersuara, tetapi kebebasan itu datang bersama tanggungjawab. Jangan kerana mahu menjadi orang pertama memuat naik sesuatu, kita mengorbankan maruah individu lain.

Jangan memalukan diri apabila dapat surat peguam untuk memohon maaf kepada orang yang anda malukan itu.

The post Sebar aib orang dalam LRT, MRT appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved