
PONTIAN – Hampir dua minggu selepas kehilangan tiga cucu tersayang dalam kemalangan jalan raya, seorang datuk yang masih dibayangi kerinduan bermimpi melihat mereka bermain seperti biasa di dalam dan luar rumah.
Dalam kejadian menyayat hati pada 8 Oktober lalu, tiga beradik iaitu Nor Daniel Aiman, 18; Nor Daniel Fikri, 11, dan Puteri Naufa Raisha, 8, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pukul 7.20 pagi.
Munaji Januri, 73, datuk kepada tiga beradik itu bermimpi bertemu cucu-cucunya seolah-olah mereka masih berada di sisi keluarga.
Lebih memilukan, anak lelaki keempat kepada pasangan Julaiha Munaji dan Norlizan Khamis, Nor Daniel Fitri, 13, turut bermimpi bertemu adik-adiknya yang kelihatan gembira bermain bersama-sama di dalam rumah.
Ibu mereka, Julaiha berkata, kehilangan tiga anaknya itu masih sukar diterima, malah dia dan suami masih terasa seolah-olah anak-anak mereka berada di rumah seperti sebelum tragedi berkenaan.
Menurutnya, anak sulungnya, Nor Daniel Irwan, 22, juga sering terbayang-bayang adik-adiknya sedang melambai-lambai ketika melalui Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Siraj, tempat ketiga-tiga mereka disemadikan dalam satu kubur.
“Apabila terlalu rindukan mereka bertiga, saya akan memeluk beg sekolah yang dibawa oleh Nor Daniel Fikri dan Puteri Naufa Raisha,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Persatuan Bukan Sabit Merah (PBSM) Negeri Johor dan Perkumpulan Wanita (WI) Negeri Johor di sini semalam.
Julaiha berkata, sehingga kini dia masih terbayang-bayang keadaan dua anaknya, Nor Daniel Fikri dan Puteri Naufa Raisha yang terbaring di lokasi kejadian kira-kira 200 meter dari rumah mereka.
“Walaupun sudah hampir dua minggu kejadian berlaku, saya dan suami masih berasakan mereka ada di dalam rumah, bermain dan tidur bersama-sama seperti dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Julaiha merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada keluarganya sejak tragedi berkenaan.
Katanya, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban keluarganya termasuk seorang individu dari Negeri Sembilan.
“Saya akan menggunakan sebaik-baiknya setiap sumbangan diterima demi manfaat keluarga,” katanya.
The post ‘Bila rindu mereka, saya peluk beg sekolah’ appeared first on Kosmo Online.






