
PETALING JAYA – Keluarga kanak-kanak perempuan yang maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, menegaskan mereka tidak pernah menganjurkan sebarang kutipan dana awam susulan tragedi tersebut.
Bapa mangsa, Ahmad Shahir Mohammad Nor Izam berkata, penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kejadian yang menimpa keluarganya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat kod QR atas namanya yang dikongsikan oleh pihak Masjid Jamek Kampung Sungai Pencala, tempat beliau bertugas sebagai bilal.
“Walau bagaimanapun, memang ada kod QR atas nama Ahmad Shahir Bin Ahmad Norizan (Abi Asiah) yang telah dikongsikan oleh pihak Masjid Jamek Kampung Sungai Pencala, di mana saya bertugas sebagai bilal masjid,” katanya menerusi hantaran di Threads menggunakan akaun @aqif.afifi, hari ini.
Dalam hantaran sama, Ahmad Shahir turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menghulurkan ucapan takziah dan kata-kata semangat kepada keluarganya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, sebuah kereta BYD Seal dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Bezza dinaiki Ahmad Shahir dan Asiah yang bergerak dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan lalu melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Asiah mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas Jalan Kuching: Bapa Asiah nafi keluarga buka kutipan dana awam appeared first on Kosmo Online.






