Bilik darjah hangus 100 peratus, murid SK Setia Alam selamat

14 Sep 2026 • 6:18 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Bilik darjah hangus 100 peratus, murid SK Setia Alam selamat

SHAH ALAM – Tindakan pantas pihak sekolah menghimpunkan murid di kawasan padang berjaya memastikan tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran membabitkan sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam, Persiaran Setia Prima, petang tadi.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan penduduk dan ibu bapa selepas kepulan asap hitam tebal dilihat keluar dari bangunan sekolah berkenaan.

Beberapa ibu bapa menerusi hantaran di media sosial memaklumkan anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat selepas dikumpulkan di kawasan lapang dipercayai sejurus kebakaran dikesan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.20 petang.

“Sebaik sahaja pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong tiba, siasatan mendapati lokasi yang terbakar adalah bilik darjah.

“Bilik darjah berkenaan terbakar 100 peratus dan api padam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, guru besar sekolah mengesahkan tiada murid berada di dalam bilik darjah terbabit ketika pasukan bomba tiba dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Difahamkan, kebakaran itu turut memusnahkan peralatan serta buku yang berada di dalam bilik darjah berkenaan.

Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pemadaman susulan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami.

The post Bilik darjah hangus 100 peratus, murid SK Setia Alam selamat appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved