![Image from: [VIDEO] ‘Tolong Sispaa kan cikgu-cikgu berani tu’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-14-at-22.10.27-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – Orang ramai memuji tindakan berani guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam yang bertungkus lumus berusaha memadamkan kebakaran selepas satu daripada bilik darjah di sekolah itu terbakar petang tadi.
Menerusi video tular di media sosial dimuat naik pengguna Thread Papayann memperlihatkan, beberapa guru lelaki berusaha memadam kebakaran menggunakan pemadam api dalam keadaan asap tebal.
Ia mendapat maklum balas pujian daripada orang ramai selain ada yang meminta mereka diberikan penghargaan atas keberanian tersebut.
“Tolong Sispaa kan cikgu-cikgu berani tu. Ramai lagi tak tahu penghargaan juga boleh dilaporkan melalui Sispaa. Insya-Allah lebih mudah penilaian untuk naik pangkat atau dapat APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) dan lain-lain,” komen seorang pengguna Thread.
“Terbaik cikgu-cikgu, pantas bertindak,” kata Md.ariff13.
“Tahniah cikgu, sebab tu pentingnya latihan kebakaran,” kata Fatin Hanani Ismail.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, suasana pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam bertukar cemas apabila sebuah bilik darjah terbakar petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.20 petang.
Empat anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong tiba di lokasi kira-kira 17 minit kemudian.
Bagaimanapun, api berkenaan dipadamkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] ‘Tolong Sispaa kan cikgu-cikgu berani tu’ appeared first on Kosmo Online.





