‘Murid panggil saya ‘papa’, rasa macam anak sendiri’

13 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Murid panggil saya ‘papa’, rasa macam anak sendiri’

GUA MUSANG – 20 tahun hidup sebati di pedalaman Gua Musang membuatkan seorang guru asal Kota Bharu kini menjadi ‘papa’ kepada 180 murid asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar.

Mohd. Arif Mahamad, 39, yang bertugas di sekolah berkenaan sejak 2007 berkata, dia memilih untuk terus kekal di sekolah itu kerana sudah sebati dengan kehidupan bersama murid serta masyarakat setempat.

Pada awal perkhidmatannya, Mohd. Arif mengakui tidak memahami langsung bahasa Temiar,­ namun selepas dua tahun, dia mula menguasai bahasa asas hasil pergaulan setiap hari dengan murid dan penduduk.

“Dulu saya tidak faham apa yang mereka cakap, tetapi lama-kelamaan saya belajar. Sekarang kalau penduduk bercakap, saya boleh faham.

“Murid pula memanggil saya ‘papa’ dan saya anggap mereka seperti anak sendiri,” katanya.

Menurut Mohd. Arif, tugas menjaga kira-kira 180 murid asrama yang terdiri daripada 90 lelaki dan 90 perempuan memerlukan komitmen tinggi bagi memastikan kebajikan serta ­keselamatan mereka.

Katanya, rutin kerja bermula seawal pukul 5 pagi mengikut syif untuk mengejutkan murid bangun tidur, memastikan mereka makan dan minum serta memantau keadaan sekiranya sakit.

“Saya pernah berdepan pengalaman lebih 10 murid cuba me­larikan diri pada waktu malam untuk balik ke Pos Belatim. Mereka rindukan keluarga dan mahu berjalan kaki pulang ke kampung.

“Ketika itu kami perlu pujuk dan pastikan mereka berasa selamat,” ujarnya.

Mohd. Arif berkata, pengalaman sepanjang hampir dua dekad bertugas mengajarnya erti kesabaran terutama dalam soal logistik ke Pos Balar.

“Saya pernah mengambil masa 17 jam untuk sampai ke Pos Balar kerana jalan sangat teruk.­ Saya banyak kali terkandas dalam hutan, berdepan pokok tumbang dan tayar kenderaan tenggelam kerana berlumpur.

“Semua itu bukan halangan, malah saya bangga apabila ada anak-anak Orang Asli yang pernah dijaga berjaya menjadi polis dan jururawat,” katanya.

The post ‘Murid panggil saya ‘papa’, rasa macam anak sendiri’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved