
ALOR GAJAH: Pembinaan bilik darjah tambahan bagi menampung kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun bagi sesi persekolahan 2027 siap sepenuhnya sebelum Disember ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membolehkan pembinaan disiapkan dalam tempoh singkat tanpa menjejaskan kualiti.
Menurutnya, penggunaan teknologi itu antara pendekatan terbaik bagi memastikan keperluan bilik darjah tambahan dapat dipenuhi mengikut jadual sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
“Secara umumnya, pembinaan berjalan mengikut jadual dan kita yakin semua sekolah yang diperlukan akan siap sebelum hujung Disember.
“Kaedah modular ini lebih pantas, lebih menjimatkan kos dan kualitinya tetap sama. Ketahanannya juga mampu bertahan puluhan tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja rasmi ke Pejabat Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sebanyak 2,596 bilik darjah baharu sedang dibina melibatkan 838 sekolah bagi menampung pertambahan murid tahun satu pada sesi persekolahan 2027.
Ahmad berkata, pada masa ini kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan blok tambahan bilik darjah di sekolah-sekolah berkepadatan tinggi.
Katanya, sebagai contoh di Alor Gajah, pembinaan melibatkan 14 sekolah menerusi Projek Pembinaan Bangunan Modular IBS Fasa 2 dengan nilai keseluruhan RM12.05 juta.
“Projek ini dijadualkan siap pada November dan menjadi antara contoh pelaksanaan sistem modular yang berjaya bagi memenuhi keperluan tambahan bilik darjah di sekolah-sekolah,” katanya.-UTUSAN
The post Bilik darjah tambahan tahun satu siap sepenuhnya Disember appeared first on Utusan Malaysia.






