Bina Puri catat kerugian bersih RM68 juta bagi 21 bulan susulan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bina Puri catat kerugian bersih RM68 juta bagi 21 bulan susulan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan Image from: Bina Puri catat kerugian bersih RM68 juta bagi 21 bulan susulan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan amree03/06/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 JunBina Puri Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih yang mencecah sebanyak RM67.8 juta bagi bagi tempoh kewangan terkumpul selama 21 bulan berakhir pada 31 Mac 2026.

 

Laporan itu dibuat tanpa sebarang perbandingan susulan tindakan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan daripada 30 Jun kepada 31 Mei untuk memudahkan semakan dan penyusunan semula korporat.

 

Bagi tempoh 21 bulan tersebut, kumpulan meraih pendapatan RM415.9 juta, namun merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) berjumlah RM56.2 juta setelah mengambil kira kos kewangan yang tinggi.

 

"Syarikat melaporkan kos berkenaan sebanyak RM51.9 juta serta kerugian kemerosotan nilai ke atas belum terima lain berjumlah RM32.3 juta," jelas Bina Puri dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Untuk suku semasa yang berakhir pada 31 Mac 2026, kumpulan tersebut mencatatkan pendapatan RM35.2 juta, tetapi masih lagi dengan kerugian bersih bagi suku tahunan berkenaan sebanyak RM9.38 juta.

 

Jumlah kerugian sebelum cukai bagi suku ini iaitu RM10.8 juta adalah lebih rendah berbanding suku sebelumnya iaitu RM57.1 juta kerana impak susut nilai yang besar diambil kira pada suku terdahulu.

 

Bina Puri menambah, segmen pembinaan mencatatkan pendapatan RM192.3 juta tetapi mengalami LBT sebanyak RM38.1 juta, terutamanya akibat bebanan kos kewangan segmen yang mencecah RM40.2 juta.

 

"Sementara segmen hartanah melaporkan hasil RM162.7 juta dengan LBT kira-kira RM10.6 juta selepas diambil kira kos kewangan sebanyak RM10 juta dan kerugian kemerosotan nilai RM26.6 juta," katanya.

 

Dalam pada itu, segmen bekalan tenaga pula jelasnya, didapati menyumbang pendapatan sebanyak RM14.9 juta hasil daripada pembekalan elektrik kepada PT Perusahaan Listrik Negara di Indonesia.

 

Menyentuh mengenai prospek masa depan, Bina Puri kekal optimis terhadap peluang di Sarawak, dipacu oleh peruntukan Belanjawan 2026 sebanyak RM6 bilion untuk projek infrastruktur di negeri tersebut.

 

Ujarnya, kumpulan berkenaan turut percaya kedudukan pasaran yang semakin kukuh syarikat itu di Sarawak akan membantunya terjamin dalam mendapatkan banyak kontrak tambahan pada jangka panjang.

 

"Syarikat turut akan terus mengamalkan pengurusan berhemah dan meningkatkan kecekapan operasi bagi menghadapi cabaran kenaikan kos buruh, harga bahan binaan serta tenaga," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard