amree03/06/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — Sanichi Technology Berhad mencatatkan peningkatan kerugian bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, akibat faktor kerugian rosak nilai ke atas akaun belum terima.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, kerugian selepas cukai (LAT) tersebut turut disebabkan pelupusan pelbagai aset kumpulan berkenaan yang meliputi beberapa hartanah, loji dan peralatan.
Syarikat mencatatkan LAT sebanyak RM30.37 juta bagi tempoh kumulatif 12 bulan bagi FY26, naik 61% berbanding kerugian hanya RM18.81 juta bagi tempoh yang sama pada tahun kewangan sebelum itu.
"Bagi suku keempat FY26 yang berakhir 31 Mac 2026, Sanichi turut menyaksikan peningkatan kerugian bersih kepada RM10.93 juta berbanding RM7.84 juta pada suku yang sama tahun lalu," jelasnya lagi.
Meskipun mengalami kerugian yang lebih tinggi, ia masih mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM16.92 juta bagi tahun kewangan tersebut berbanding kira-kira RM16.57 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan positif pendapatan tersebut jelas kumpulan berkenaan, disumbangkan terutamanya oleh bahagian pembangunan hartanah syarikat itu meskipun berdepan dengan pelbagai isu ketidaktentuan.
Mengenai prospek masa hadapan, Lembaga Pengarah Sanichi menjangkakan yang keadaan pasaran tempatan dan antarabangsa terus kekal mencabar kepada syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.
"Segmen acuan ketepatan kumpulan ini dijangka terus berdepan dengan banyak tekanan luaran akibat ketidaktentuan pertukaran mata wang asing (forex) dan pasaran yang tidak menentu," tambahnya.
Bagaimanapun, ia merancang untuk mengukuhkan aliran tunai dan kecairan jangka pendek melalui penjualan baki unit kediaman yang belum terjual di projek Marina Point Melaka secara progresif.
Kumpulan berkenaan juga ujar Sanichi, akan terus memantau keadaan pasaran dengan teliti dan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menilai peluang perniagaan baharu. - DagangNews.com






