Bintulu Port Holdings lantik bekas eksekutif PETRONAS sebagai CEO baharu

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 2:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bintulu Port Holdings lantik bekas eksekutif PETRONAS sebagai CEO baharu Image from: Bintulu Port Holdings lantik bekas eksekutif PETRONAS sebagai CEO baharu liza03/08/2026 - 14:54 Anuar Ismail Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Bintulu Port Holdings Bhd memasuki fasa baharu kepimpinannya apabila melantik bekas eksekutif kanan PETRONAS, Anuar Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, hanya beberapa minggu selepas pelabuhan strategik itu rasmi beralih kepada pemilikan Kerajaan Sarawak.

 

Pelantikan berkuat kuasa 17 Ogos 2026 itu dilihat sebagai kesinambungan kepada transformasi Bintulu Port yang kini memainkan peranan lebih besar dalam agenda pembangunan ekonomi negeri, susulan pelaksanaan peralihan status pelabuhan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

 

Anuar menggantikan Datuk Ruslan Abdul Ghani yang akan menyertai sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak selepas hampir tiga tahun menerajui Bintulu Port Holdings. 

 

Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan butirannya.

 

Pemilihan Anuar bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam industri tenaga dan pernah memegang pelbagai jawatan kanan di PETRONAS, termasuk mengurus aset syarikat di Sarawak serta operasi di luar negara.

 

Pengalaman luas itu dijangka menjadi antara aset penting dalam memacu hala tuju Bintulu Port Holdings ketika syarikat berdepan fasa pertumbuhan baharu selepas perubahan struktur pemilikannya.

 

Kepimpinan Berpengalaman 

Rekod kerjaya Anuar memperlihatkan penglibatan yang meluas dalam operasi huluan industri minyak dan gas serta hubungan strategik dengan kerajaan negeri.

 

Beliau sebelum ini merupakan Ketua Perhubungan Negeri PETRONAS, selain pernah mengetuai Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu di Malaysia Petroleum Management, menjadi Ketua Aset Sarawak di PETRONAS Carigali serta Pengerusi dan Ketua Negara PETRONAS South Sudan.

 

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik dari Case Western Reserve University, Amerika Syarikat itu dijangka membawa pengalaman korporat dan operasi yang luas bagi memperkukuh kedudukan Bintulu Port Holdings.

 

Peralihan Pelabuhan Masuk Fasa Baharu

Pelantikan Anuar dibuat selepas Bintulu Port Holdings memuktamadkan proses peralihan pemilikan kepada Kerajaan Sarawak menerusi perjanjian tiga pihak yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Bintulu Port Sdn Bhd.

 

Perjanjian tersebut menamatkan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah perjanjian penswastaan yang dimeterai pada 1992 dan berakhirnya lebih tiga dekad Bintulu Port beroperasi sebagai pelabuhan Persekutuan.

 

Bintulu Port Holdings sebelum ini menjelaskan proses peralihan itu merupakan antara pencapaian penting dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), manakala Bintulu Port Sdn Bhd akan terus berperanan sebagai pengendali pelabuhan.

 

Ketika ini, Kerajaan Sarawak merupakan pemegang saham terbesar Bintulu Port Holdings dengan pegangan gabungan sebanyak 41.71% menerusi Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dan Equisar Assets Sdn Bhd, manakala PETRONAS memiliki kepentingan sebanyak 28.52%.

 

Syarikat itu juga masih belum mengumumkan individu yang akan mengambil alih jawatan Presiden yang sebelum ini disandang Ruslan berikutan penstrukturan semula organisasi yang dilaksanakan pada Disember 2024. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved