
Bitcoin melonjak lebih 7% dalam tempoh 24 jam dan kembali mencecah paras AS$70,000 buat kali pertama sejak Jun.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin didagangkan pada AS$69,324 positif 0.09% sejak pembukaan sesi Asia pada Khamis.
Kenaikan itu didorong oleh beberapa faktor termasuk sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap undang-undang kripto, peningkatan operasi pembelian semula bon Perbendaharaan AS serta perkembangan positif berkaitan rangka kerja kawal selia aset digital.
Trump Tekan Kongres Lulus Undang-Undang Kripto
Trump menggesa Kongres AS supaya meneruskan Digital Asset Market Clarity Act (CLARITY Act) bagi mewujudkan rangka kerja peraturan yang lebih jelas untuk industri aset digital.
Perkembangan itu memberi sentimen positif kepada pasaran kripto kerana peraturan yang lebih jelas dijangka dapat mengurangkan ketidaktentuan terhadap industri tersebut.
Pengerusi Banking Committee Senat, Tim Scott, turut berkata rang undang-undang berkenaan mempunyai peluang untuk bergerak pada September.
Undian prosedur dijadualkan pada 15 September, dengan beberapa isu seperti ganjaran kripto, kewangan terdesentralisasi (DeFi) dan peruntukan etika masih dalam perbincangan.
Liquidity Pasaran Turut Beri Sokongan
Kenaikan Bitcoin turut berlaku selepas Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent menggandakan saiz operasi pembelian semula bon kerajaan.
Langkah itu dilihat sebagai potensi sokongan terhadap kecairan dalam pasaran Treasury AS yang bernilai lebih AS$30 trilion.
Peningkatan liquidity lazimnya memberi ruang kepada pelabur untuk mengambil lebih banyak risiko, sekali gus berpotensi menyokong aset seperti saham dan mata wang kripto.
Bitcoin Pecahkan Paras Teknikal Penting
Dari sudut teknikal, Bitcoin turut menerima sokongan selepas melepasi paras AS$66,600.
Paras tersebut sebelum ini dikenal pasti sebagai neckline bagi corak inverse head-and-shoulders yang terbentuk sejak paras terendah Bitcoin pada Jun.
Penembusan yang disahkan di atas paras berkenaan berpotensi membuka ruang kepada Bitcoin untuk bergerak menuju sekitar AS$76,000.
Namun, Bitcoin perlu mengekalkan momentum di atas AS$70,000 bagi mengesahkan kekuatan trend kenaikan tersebut.
Fed Masih Jadi Risiko
Walaupun momentum Bitcoin semakin positif, minit mesyuarat Federal Reserve (Fed) menunjukkan risiko dasar monetari masih membayangi pasaran.
Kebanyakan pegawai Fed menyokong keputusan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat Julai, namun beberapa pegawai lebih cenderung kepada kenaikan kadar sekiranya inflasi gagal menunjukkan penurunan.
Fed menjangka inflasi akan terus reda menjelang akhir tahun apabila kesan tarif dan kenaikan harga tenaga sebelum ini semakin berkurangan.
Bagaimanapun, risiko inflasi masih dilihat condong ke arah lebih tinggi, sekali gus mengekalkan kemungkinan dasar monetari yang lebih ketat.






