
Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mengesahkan rundingan sedang dijalankan dengan beberapa parti pembangkang tempatan bagi membentuk pakatan baharu dikenali sebagai Gerakan Bersatu Sabah (GBS).
Beliau berkata, perbincangan bagi penubuhan GBS bermula awal bulan ini.
“Perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa parti tempatan untuk memuktamadkan pakatan ini, dengan pelancarannya dijangka sebelum hari penamaan calon pada 15 November. Pilihan Raya Negeri Sabah pula dijadualkan berlangsung pada 29 November,” kata Jeffrey yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Sabah, kepada media tempatan.
“Kami sedang dalam proses memformalkan pakatan ini di bawah panji Gerakan Bersatu Sabah. Saya telah berbincang dengan pemimpin daripada pelbagai parti termasuk Anak Negeri, Perpaduan, PKDM, malah beberapa kumpulan dari Sarawak turut menyatakan sokongan,” tambahnya.
Masih di peringkat awal, Jeffrey menjelaskan bahawa GBS muncul sebagai gabungan yang memberi tumpuan kepada suara masyarakat Kadazan-Dusun-Murut (KDM), dengan Star dan SAPP sebagai teras utama.
Beliau berkata, blok itu berhasrat untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menampilkan diri sebagai alternatif tempatan kepada gabungan GRS–Pakatan, BN–Pakatan, dan Warisan.
Menurut Jeffrey, tujuan utama pembentukan blok tersebut adalah untuk mengembalikan kepimpinan negeri yang kuat, khususnya selepas keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan.
“Sekiranya kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan, Sabah memerlukan seorang Ketua Menteri yang mampu berunding dengan tegas. Kepimpinan yang lemah hanya akan merugikan kita sekali lagi,” tegasnya.
Jeffrey turut menyatakan keterbukaannya untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) sekiranya parti itu memutuskan untuk keluar daripada gabungan GRS.
Beliau turut menyebut bahawa Presiden pengasas PBS dan Huguan Siou, pemimpin tertinggi masyarakat KDM, pernah menyatakan hasrat agar Star dan PBS dapat bergerak seiring.
Jeffrey meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini, sekitar masa masa tular sebuah video pendedahan oleh pemberi maklumat Albert Tei yang mendakwa dia telah memberikan suapan berjumlah RM1.7 juta kepada Jeffrey.
Dalam video itu, Tei dilaporkan turut menyuarakan rasa kecewa kerana Jeffrey tidak berjaya memujuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, untuk menarik balik keputusan larangan aktiviti perlombongan.
Video tersebut juga mendakwa bahawa Tei telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi mendapatkan bantuan beberapa Adun lain dalam urusan permohonan lesen carigali bagi pelbagai syarikat, selain menyatakan bahawa penajanya semakin hilang sabar.
Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menolak kemungkinan untuk menyertai mana-mana pakatan politik, termasuk blok GBS yang dicadangkan ini.
Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, menafikan dakwaan bahawa beliau pernah berbincang dengan Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mengenai perkara berkenaan.
“Tidak benar bahawa KDM akan menyertai GBS. Saya tidak pernah berbincang mengenai perkara ini dengan sesiapa pun, termasuk Jeffrey,” katanya.
Wetrom menegaskan bahawa KDM akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri akan datang, selaras dengan kehendak penyokong akar umbi parti itu.
“Keputusan ini mencerminkan sentimen akar umbi kami yang mahu KDM bergerak secara solo. Adalah mustahil bagi kami untuk menentang kehendak mereka.
“Saya tekankan sekali lagi bahawa KDM sebagai parti tempatan akan berdiri sendiri dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
