‘Star keluar GRS bukan isu besar’

LocalPolitics
9 Oct 2025 • 4:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada dalam kedudukan kukuh dan mampu bertahan walaupun Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menarik diri secara mengejut.

“Ini bukan perkara besar kerana kekosongan politik itu boleh diisi oleh parti komponen lain dalam gabungan enam parti yang diketuai Presiden PGRS Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Beliau percaya keputusan itu adalah sepenuhnya hak peribadi Jeffrey.

“Membuat keputusan sedemikian adalah prerogatif dan hak presiden parti. Sama ada tindakan Star keluar dan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) memberi kelebihan kepada mereka atau sebaliknya hanya akan diketahui selepas keputusan diumumkan,” katanya.

Suhaili berkata nasib parti politik terletak di tangan pengundi.

“Dalam hal ini Star mungkin telah menukar statusnya daripada calon pasti menang di kawasan pedalaman yang dianggap kubu kuatnya kepada keadaan yang tidak menentu,” katanya.

Star dan SAPP bersama enam lagi parti iaitu PGRS, PBS, Usno, PHRS, LDP dan PCS  membentuk GRS yang diterajui Hajiji.

Berdasarkan laporan keputusan Star dan SAPP untuk keluar daripada GRS dan bertanding secara solo disebabkan perbezaan pandangan mengenai jumlah kerusi yang perlu diperuntukan kepada parti berasaskan persekutuan Pakatan Harapan (PH).

Namun Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun menafikan laporan itu dengan menyatakan rundingan pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 73 kerusi.

Suhaili turut berkata slogan seperti “Sabah for Sabahans” hanyalah ciptaan ahli politik untuk kepentingan sendiri.

“Slogan sedemikian tidak berpijak pada realiti kerana hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri amat penting bagi mencapai matlamat pembangunan Sabah, pengiktirafan hak di bawah MA63 dan peningkatan pulangan hasil negeri daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Suhaili, Hajiji berada di landasan yang betul dan Sabah terus bergerak maju dalam semua aspek. Kerjasama bukan konfrontasi adalah kunci kejayaan,” tegasnya.

Beliau juga menyatakan lawatan tetap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah serta pertemuannya dengan pemimpin negeri menunjukkan perhatian serius PM terhadap Sabah.

Baru-baru ini Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk membantu mangsa banjir di Sabah selain RM11 juta yang telah disalurkan melalui Kerajaan Negeri bagi membaiki infrastruktur asas yang rosak.

Ketika ini Star mempunyai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), satu kurang berbanding PBS manakala SAPP tidak mempunyai sebarang kerusi.

Dalam perkembangan lain Jeffrey baru-baru ini dikaitkan dengan skandal perlombongan dan telah disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama beberapa jam namun beliau menafikan semua tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk merosakkan imejnya.