liza21/09/2026 - 10:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept – BMS Holdings Berhad memperluas segmen perniagaannya menerusi pembukaan Galeri Bilik Air dan Dapur Senova iaitu ruang pameran pertama syarikat yang dikhususkan untuk kelengkapan bilik mandi dan dapur di Johor Bahru.
Pembukaan ruang pameran seluas kira-kira 2,600 kaki persegi itu memberi tumpuan kepada produk kelengkapan bilik mandi dan dapur yang mewujudkan saluran pertumbuhan baharu kepada BMS Holdings selain perniagaan jubin dan permukaan batu yang menjadi teras syarikat.
Galeri itu terletak di Taman Tun Aminah, Johor Bahru, dalam kawasan yang sudah mempunyai rangkaian peruncit barangan rumah termasuk jubin, lantai dan kelengkapan sanitari.
Lokasi berkenaan turut memberi kelebihan kepada BMS Holdings kerana Senova terletak berdekatan dengan ruang pameran runcit Jubin BMS di Taman Tun Aminah yang telah beroperasi di kawasan sama selama lebih 20 tahun.
Pelengkap Kepada Perniagaan Jubin BMS
Kedudukan kedua-dua ruang pameran itu membolehkan pelanggan meneroka jubin dan kemasan permukaan di Jubin BMS sebelum memilih kelengkapan bilik mandi dan dapur di galeri baharu itu.
Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng berkata pembukaan Senova membolehkan syarikat memainkan peranan lebih besar dalam keperluan pelanggan bagi ruang bilik mandi dan dapur, selain memberikan tumpuan khusus kepada kategori berkenaan.
Menurutnya, dapur dan bilik mandi merupakan antara ruang penting dalam sesebuah kediaman kerana kedua-duanya digunakan setiap hari dan produk yang dipilih lazimnya digunakan untuk tempoh yang panjang.

“BMS Holdings mahu menjadikan Senova sebagai nama yang boleh dipercayai oleh pelanggan ketika membuat pilihan untuk keperluan dapur dan bilik mandi, bermula dengan pembukaan ruang pameran pertama di Johor Bahru.
“Pembukaan Senova turut melengkapkan kehadiran BMS Holdings yang sedia ada di Johor, selain memperkenalkan format runcit baharu dalam rangkaian syarikat yang meliputi Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Fokus Konsep Bayar Dan Bawa
Selain menawarkan rangkaian kelengkapan bilik mandi dan dapur, Senova akan memberi tumpuan kepada konsep bayar dan bawa (cash & carry) bagi produk terpilih yang cepat terjual dan tersedia untuk dibeli terus.
Antara produk yang diberi tumpuan termasuk aksesori, kelengkapan paip dan perkakasan pemasangan yang membolehkan pelanggan mendapatkan barangan yang diperlukan untuk kerja pembaikan rumah dengan lebih mudah.
Bagi meraikan pembukaan ruang pameran itu, Senova turut menawarkan tawaran pembukaan, pakej promosi serta hadiah percuma terpilih kepada pelanggan BMS Holdings sedia ada dan pelanggan baharu yang berkunjung.
Dari sudut perniagaan, format khusus ini membolehkan BMS Holdings memperuntukkan lebih banyak ruang dan sumber runcit kepada kategori kelengkapan bilik mandi dan dapur, sekali gus mempelbagaikan rangkaian produknya.
Sebagai ruang pameran Senova yang pertama, cawangan Johor Bahru itu juga akan menjadi platform untuk BMS Holdings menilai konsep berkenaan dan melihat potensinya untuk dikembangkan ke lokasi lain pada masa hadapan. - DagangNews.com





